38 projek JKR bernilai RM2 bilion dikategorikan sebagai projek sakit - Dewan Rakyat diberitahu

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 3:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

38 projek JKR bernilai RM2 bilion dikategorikan sebagai projek sakit - Dewan Rakyat diberitahu Image from: 38 projek JKR bernilai RM2 bilion dikategorikan sebagai projek sakit - Dewan Rakyat diberitahu amree03/11/2026 - 15:30 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov — Sebanyak 38 projek Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai RM2 bilion dikategorikan sebagai projek sakit setakat 31 Oktober 2026, dengan enam daripadanya melalui proses penamatan kontrak susulan kegagalan pelaksanaan mengikut jadual.

 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi namun memberitahu Dewan Rakyat, jumlah tersebut melibatkan sebahagian daripada sejumlah 880 projek JKR yang sedang dalam proses pembinaan di seluruh negara pada ketika ini.

 

Tambah beliau, kadar projek sakit sepanjang tahun ini bagaimanapun menunjukkan berlaku trend penurunan berbanding paras tertinggi yang direkodkan pada Julai 2026 apabila sebanyak 55 projek atau 6.51% dikategorikan sebagai projek sakit.

 

"Kadar projek sakit berkenaan didapati berjaya menurun kepada kira-kira 4.32% setakat 31 Oktober lalu, sekali gus mencerminkan berlaku pengurangan bilangan projek yang berdepan dengan kelewatan secara serius," tegas beliau lagi.

 

Menurut Nanta, sesuatu projek diklasifikasikan sebagai projek sakit apabila mengalami kelewatan melebihi 60 hari atau ketinggalan lebih 20% daripada jadual pelaksanaan, mengikut mana-mana yang terdahulu berdasarkan tempoh kontrak ditetapkan.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) di Dewan Rakyat mengenai jumlah dan nilai projek sakit, punca utama kelewatan serta tindakan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual.

 

JKR_DagangNews2026

 

Mengulas punca kelewatan, beliau berkata, 77% daripadanya berpunca akibat kelemahan pengurusan kontraktor, khususnya perancangan dan penyelarasan tapak tidak berkesan, pengurusan pekerja tidak mencukupi serta kelemahan pengendalian jentera dan bahan binaan.

 

"Baki 23% pula disebabkan oleh faktor luaran termasuk masalah kelewatan pemindahan utiliti, isu pengambilan tanah, akses tapak yang terhad, kekangan bekalan bahan binaan di pasaran serta peningkatan harga diesel," jelas Nanta.

 

Beliau menambah, tindakan memulakan proses penamatan enam kontrak projek sakit membuktikan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap kontraktor yang gagal memenuhi tanggungjawab dan obligasi seperti ditetapkan dalam perjanjian.

 

Langkah itu mencerminkan pendirian kerajaan untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan awam dipantau dengan lebih tegas, selain mengurangkan risiko kelewatan yang boleh menjejaskan penyampaian kemudahan dan infrastruktur kepada rakyat.

 

Kerajaan ujar Nanta, akan terus memberi perhatian terhadap prestasi pelaksanaan projek JKR bagi memastikan kontraktor memenuhi jadual kerja, mengurus sumber secara berkesan serta menyiapkan projek mengikut spesifikasi dan tempoh yang dipersetujui. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved