“Tak Perlu Undang-Undang Baharu, Cukup Kuat Kuasakan Sedia Ada”– Ini Penjelasan KPN Berkenaan Cadangan Suruhanjaya Keharmonian

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 2:44 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

LM Featured Image 900 x 550 px 2160 x 1080 px 35

Baru-baru ini, isu berkenaan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional telah menarik perhatian ramai. 

Mengulas mengenai perkara tersebut, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tampil memberikan penjelasan menyeluruh bagi merungkai persoalan utama berhubung perundangan keharmonian sosial di negara ini.

Undang-Undang Sedia Ada Dah Cukup Lengkap

Menurut KPN dalam satu kenyataan, Malaysia sebenarnya sudah pun mempunyai pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada yang merangkumi aspek berkaitan isu 3R (Agama, Raja, Kaum), ucapan kebencian (hate speech), dan keharmonian sosial. 

Antara undang-undang di bawah Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Komunikasi yang diguna pakai termasuk Akta Hasutan 1948,Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan peruntukan berkaitan dalam Kanun Keseksaan. 

Bukan itu sahaja, larangan terhadap diskriminasi secara asasnya telah pun termaktub di dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

“Oleh sebab itu, sebarang cadangan untuk menubuhkan satu lagi institusi atau perundangan baharu perlu dinilai secara menyeluruh agar tidak berlaku pertindihan fungsi, bidang kuasa, mahupun mekanisme penguatkuasaan.

“KPN berpandangan bahawa cabaran utama ketika ini bukannya disebabkan ketiadaan undang-undang, tetapi sejauh mana peruntukan sedia ada dapat dikuatkuasakan secara tegas dan konsisten.”

 Justeru, kerajaan secara rentas agensi perlu meneliti semula keberkesanan penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta mengenal pasti sebarang kelemahan, jurang, atau kekangan dalam proses berkenaan.

JPIP Akan Buat Penilaian Menyeluruh

Bagi memastikan perkara ini ditangani secara teliti, KPN menerusi Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPN akan menilai secara menyeluruh keberkesanan undang-undang berkaitan 3R dan hate speech.

Jawatankuasa ini turut melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Antara perkara utama yang akan diteliti merangkumi takrifan isu 3R dan hate speech, bidang kuasa, isu pertindihan peruntukan, serta keberkesanan tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada.

Kerjasama Dengan SUHAKAM & Cadangan Pesuruhjaya Keharmonian

Di samping itu, SUHAKAM juga sememangnya sudah sedia ada mempunyai fungsi untuk menyiasat aduan pelanggaran hak asasi manusia serta memberi nasihat dan syor kepada kerajaan berkaitan isu diskriminasi kaum dan agama.

Atas dasar tersebut, KPN bakal mengadakan perbincangan lanjut bersama SUHAKAM bagi melihat penyelarasan peranan yang lebih berkesan dalam menangani isu keharmonian sosial. 

“KPN turut merancang untuk mencadangkan kepada SUHAKAM supaya melantik seorang Pesuruhjaya Keharmonian bagi memberi fokus khusus terhadap pemantauan dan advokasi keharmonian sosial daripada perspektif hak asasi manusia.”

Perkasa Mediation Komuniti, Selesai Kes Tanpa Perlu Ke Mahkamah

Selain pendekatan undang-undang, KPN turut menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem intervensi awal dan mediasi komuniti di peringkat akar umbi. 

Sehingga kini, seramai 617 Mediator Komuniti telah ditauliahkan yang terdiri daripada pegawai perpaduan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil penganut agama serta anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Pencapaian pendekatan ini terbukti apabila bagi tempoh 2023 hingga 2026, sebanyak 521 kes  berkaitan komuniti dan kejiranan telah berjaya diselesaikan secara mediasi atau rundingan tanpa perlu melibatkan proses mahkamah. 

“Langkah ini amat penting bagi memastikan pertikaian yang boleh diselesaikan melalui rundingan tidak terus berkembang menjadi konflik yang lebih besar.”

Pelan Tindakan Bersepadu Daripada JPNIN

Sebagai langkah berterusan, KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bakal menyediakan Pelan Tindakan Memperkasa Ekosistem Keharmonian Sosial Negara. 

Pelan ini akan menggabungkan lima elemen utama iaitu pencegahan, intervensi awal, mediasi, penguatkuasaan dan pemantauan

“Pelan ini dilaksanakan secara lebih tersusun dan bersepadu demi memastikan isu keharmonian sosial di negara ini ditangani secara menyeluruh.” 

Sumber: Kementerian Perpaduan Negara

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved