hamden26/10/2026 - 12:27 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt - Press Metal Aluminium Holdings Bhd dijangka berdepan tekanan margin peleburan pada separuh kedua 2026 berikutan kekangan bekalan aluminium global yang semakin reda, selain peningkatan kos bahan mentah dan penurunan premium aluminium.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, prospek pasaran kini semakin beralih kepada kemungkinan lebihan bekalan aluminium pada 2027, sekali gus berpotensi menjejaskan margin peleburan syarikat itu dalam tempoh terdekat.
Menurut firma penyelidikan itu, penurunan premium pelabuhan Jepun (MJP), bersama peningkatan kos alumina dan anod karbon, dijangka menyebabkan margin peleburan Press Metal semakin lemah dari suku ke suku pada separuh kedua 2026.
HLIB menganggarkan pendapatan teras Press Metal bagi suku ketiga 2026 berada antara RM600 juta hingga RM650 juta, susut 10% hingga 17% berbanding suku sebelumnya, tetapi meningkat 1% hingga 9% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu akan menjadikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 bersamaan kira-kira 75% hingga 77% daripada unjuran pendapatan setahun penuh firma berkenaan.
Tekanan terhadap prestasi suku tahunan dijangka berpunca daripada penurunan harga purata aluminium pasaran spot di Bursa Logam London (LME) kepada AS$3,228 setiap tan metrik pada suku ketiga 2026, berbanding AS$3,564 pada suku kedua, selain kenaikan harga purata alumina pasaran spot.
Kekangan bekalan reda, kos bahan mentah pula meningkat
HLIB berkata, kekangan bekalan aluminium global semakin reda susulan penyambungan semula operasi peleburan di rantau Teluk secara berperingkat.
Antara perkembangan utama ialah operasi peleburan Al Taweelah milik Emirates Global Aluminium (EGA) yang kembali beroperasi lebih awal daripada jadual, selain peningkatan eksport aluminium dari China dan Indonesia.
Kapasiti pengeluaran berdaftar Indonesia juga dijangka meningkat dua kali ganda daripada dua juta tan setahun pada 2026 kepada lebih tiga juta tan setahun menjelang 2027.
Pada masa sama, tekanan kos bahan mentah semakin meningkat apabila harga alumina naik sejak pertengahan Oktober susulan pemulihan permintaan daripada industri hiliran di Timur Tengah.
Harga anod karbon pula mencecah paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun pada CNY6,000 setiap tan metrik berikutan peningkatan kos kok petroleum dan tar arang batu.
Premium MJP turut merosot dengan ketara sejak akhir September.
Mengambil kira perkembangan itu, HLIB mengurangkan unjuran pendapatan Press Metal bagi tahun kewangan 2026, 2027 dan 2028 masing-masing sebanyak 2%, 10% dan 6%.
Pelarasan itu dibuat selepas firma berkenaan mengambil kira andaian premium MJP yang lebih rendah serta kos alumina dan anod karbon yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan 'Pegang' terhadap saham Press Metal, tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM7.44 daripada RM8.22 sebelum ini.
Walaupun firma penyelidikan itu kekal positif terhadap asas fundamental syarikat berkenaan, ia berpandangan persekitaran luaran yang semakin tidak memihak serta kekurangan pemangkin pendapatan dalam tempoh terdekat boleh mengehadkan potensi kenaikan penilaian saham Press Metal. - DagangNews.com





