liza19/10/2026 - 10:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Okt – Projek kilang penapisan alumina PT Kalimantan Alumina Nusantara di Indonesia menjadi pemangkin penting kepada pemulihan saham Press Metal Aluminium Holdings Bhd dengan fasa pertama berkapasiti satu juta tan setahun dijadualkan mula beroperasi pada separuh pertama 2027, menurut RHB Research.
Kilang itu membolehkan Press Metal memenuhi hampir 100% keperluan alumina sendiri menjelang akhir 2027 dan mengurangkan kebergantungan kepada pembekal luar serta meningkatkan margin peleburan aluminium.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap Press Metal dengan harga sasaran RM9.30 berbanding RM9.80 sebelum ini dengan potensi kenaikan sebanyak 43% daripada harga saham RM6.50 ketika laporan diterbitkan pada 19 Oktober 2026.
Tingkatkan margin peleburan
PT KAN, yang 80% dimiliki Press Metal, dijangka memulakan pentauliahan operasi pada suku kedua 2027, dengan kapasiti penuh disasarkan dicapai dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas itu.
RHB Research berkata fasa kedua projek berkenaan pula dijangka bermula menjelang akhir tahun kewangan 2027.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengakui tekanan terhadap harga aluminium dan peningkatan kos bahan mentah masih boleh mempengaruhi prestasi saham dalam tempoh terdekat.
Harga aluminium dan kos bahan mentah beri tekanan
Harga saham Press Metal merosot 9% dalam satu hari berikutan tiga faktor utama, iaitu harga aluminium yang jatuh di bawah AS$3,000 setan kepada AS$2,987 setan, kos anod karbon yang meningkat ke paras tertinggi dalam beberapa tahun serta kebimbangan terhadap inflasi Amerika Syarikat yang boleh mendorong kenaikan kadar faedah.
RHB Research berkata penurunan harga aluminium turut dipengaruhi sentimen permintaan yang lebih lemah susulan penjualan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI), risiko pemulihan keadaan di Timur Tengah yang lebih pantas daripada jangkaan serta pertambahan kapasiti pengeluaran aluminium di Indonesia.
Pada masa sama, harga anod karbon meningkat 6% dalam tempoh dua minggu kepada melebihi CNY6,000 setan, paras tertinggi dalam tiga tahun, susulan peningkatan kos kok petroleum.
RHB Research menganggarkan anod karbon menyumbang 16% hingga 19% daripada keseluruhan struktur kos Press Metal. Setiap perubahan CNY100 setan dalam harga bahan itu dijangka mempengaruhi keuntungan bersih kumpulan sebanyak 2% hingga 3% setahun.
Sementara itu, setiap perubahan AS$100 setan dalam purata harga jualan aluminium dijangka mempengaruhi keuntungan Press Metal sebanyak 4% hingga 6% setahun, menurut anggaran firma penyelidikan berkenaan.
Saham terlebih jual, harga sasaran RM9.30
Walaupun berdepan tekanan kos, RHB Research berpendapat saham Press Metal sudah terlebih jual dan kini menghampiri paras terendah dalam tempoh tiga tahun, dengan julat harga dianggarkan sekitar RM6 hingga RM6.30 berdasarkan penilaian sejarahnya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan melihat paras harga semasa sebagai peluang untuk pelabur mengumpul saham secara berperingkat, meskipun pembetulan harga selanjutnya masih tidak boleh diketepikan sekiranya harga komoditi terus lemah.
RHB Research turut menyemak turun unjuran keuntungan Press Metal sebanyak 4% bagi tahun kewangan 2026, serta masing-masing 5% bagi tahun kewangan 2027 dan 2028, susulan peningkatan andaian kos anod karbon dan pelarasan andaian kadar pertukaran mata wang asing.
Bagaimanapun, keuntungan bersih berulang kumpulan masih diunjurkan meningkat daripada RM2.712 bilion pada 2026 kepada RM2.836 bilion pada 2027 dan RM2.963 bilion pada 2028, berbanding RM2.193 bilion pada 2025.
Harga sasaran baharu RM9.30 itu ditetapkan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tahun kewangan 2027 sebanyak 25 kali. RHB Research berpendapat penilaian premium itu wajar berikutan jangkaan kekurangan bekalan aluminium dalam tempoh terdekat, selain harga aluminium yang masih berada pada paras tinggi.
Risiko utama terhadap prospek Press Metal termasuk kejatuhan mendadak harga aluminium, harga bahan mentah yang kekal tinggi serta permintaan daripada sektor tenaga boleh baharu yang lebih rendah daripada jangkaan. - DagangNews.com






