Sasaran buah tandan segar TSH Resources bagi FY26F kekal 773,000 tan, kata RHB Research

Business & Finance
29 Sep 2026 • 10:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sasaran buah tandan segar TSH Resources bagi FY26F kekal 773,000 tan, kata RHB Research Image from: Sasaran buah tandan segar TSH Resources bagi FY26F kekal 773,000 tan, kata RHB Research hamden29/09/2026 - 10:33 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept - TSH Resources Bhd tidak berdepan risiko penurunan terhadap sasaran pengeluaran buah tandan segar (BTS) FY26F sebanyak 773,000 tan susulan denda pentadbiran RM42 juta yang dikenakan terhadap anak syarikatnya di Indonesia, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kawasan tanah yang terlibat dalam denda berkenaan berada di luar Hak Guna Usaha (HGU) dan tidak termasuk dalam keluasan tanaman yang dilaporkan kumpulan, sekali gus tidak memberi kesan kepada pengeluaran BTS atau keluasan tanaman TSH.

 

Katanya lagi, walaupun pengeluaran BTS daripada kira-kira 300 hektar kawasan terlibat sebelum ini dimasukkan dalam jumlah pengeluaran kumpulan, aktiviti penuaian di kawasan tersebut telah dihentikan pada FY25 selepas tanah berkenaan diserahkan kepada badan penguatkuasaan kawasan hutan, Satgas PKH.

 

"Justeru, kami tidak melihat risiko penurunan terhadap sasaran pengeluaran BTS FY26F sebanyak 773,000 tan, turun 2.1% tahun ke tahun, dengan pengeluaran bagi tempoh Januari hingga Ogos sebanyak 518,000 tan, susut 3.8% tahun ke tahun," katanya dalam nota penyelidikan.

 

TSH sebelum ini mendedahkan denda pentadbiran sebanyak IDR184.37 bilion (RM42 juta) dikenakan terhadap anak syarikat milik 90%, Sarana Prima Multi Niaga (SPMN).

 

Denda itu berkaitan 1,228.89 hektar tanah di luar HGU SPMN, dengan 496.69 hektar telah ditanam sebelum pengambilalihan oleh TSH, manakala baki 732.20 hektar diusahakan masyarakat tempatan.

 

Keluasan tanaman kekal

RHB Research berkata, memandangkan kawasan terbabit berada di luar HGU SPMN dan tidak termasuk dalam keluasan tanaman dilaporkan kumpulan sebanyak 38,654 hektar pada FY25, tiada pengurangan terhadap keluasan tanaman yang dilaporkan.

 

Denda itu akan diiktiraf pada 3Q26 dan diselesaikan dalam empat ansuran, dengan bayaran pertama sebanyak IDR46.3 bilion (RM10.5 juta) pada 25 September 2026, diikuti tiga bayaran bulanan masing-masing sebanyak IDR46 bilion (RM10.5 juta).

 

Pada 16 September, SPMN menandatangani surat pengakuan bagi memudahkan struktur pembayaran secara ansuran, sambil mendapatkan penjelasan lanjut dan meneruskan proses rayuan.

 

Dalam pengumuman sama, TSH turut mendedahkan bahawa Teguh Swakarsa Sejahtera (TSS), satu lagi anak syarikat milik 90%, masih menunggu penjelasan muktamad daripada Satgas PKH berhubung 61.09 hektar kawasan tanaman di luar HGU.

 

RHB Research mennjangkakan kesan terhadap pengeluaran BTS TSH daripada kawasan tersebut adalah minimum hingga sifar kerana ia juga tidak termasuk dalam keluasan tanaman kumpulan.

 

"Secara keseluruhan, unjuran pendapatan kami kekal tidak berubah buat masa ini kerana kami menjangkakan kesan terhadap pengeluaran BTS susulan kemungkinan kehilangan kawasan terlibat adalah terhad," katanya.

 

Penilaian saham

Susulan reaksi harga saham dan kesan minimum hingga sifar terhadap pendapatan, firma penyelidikan itu menaik taraf saranan terhadap TSH kepada BELI daripada Neutral, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.45.

 

TP berkenaan berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 12 kali, selain mengambil kira diskaun ESG sebanyak 8% berdasarkan skor ESG TSH sebanyak 2.6.

 

Saham TSH menawarkan potensi kenaikan 16% berdasarkan TP tersebut, selain hasil FY27F kira-kira 3%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved