amree07/08/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos – Gas Malaysia Berhad kembali menjadi perhatian pelabur susulan ketidaktentuan harga minyak mentah global akibat konflik di Timur Tengah memberi kesan kepada prestasi kewangan.
Menurut analisis Maybank Investment Bank (Maybank IB), selain itu prospek kadar harga gas domestik yang lebih rendah dikhuatiri terus menjadi cabaran dalam tempoh terdekat terhadap kumpulan tersebut.
Ujarnya, sebagai pembekal gas asli yang kos bekalan gas berkait rapat dengan harga Brent, sebarang perubahan memberi impak kepada pendapatan syarikat berkenaan selepas tempoh kira-kira lapan bulan.
"Kami menjangkakan manfaat daripada kenaikan harga minyak mentah Brent yang berlaku sekitar Mac 2026 hanya akan mula diterjemahkan kepada prestasi kewangan Gas Malaysia pada 4QFY26," jelasnya.
Pada masa sama, Maybank IB mengunjurkan kos gas bagi 2QFY2026 jatuh 17% berbanding tempoh sama tahun lalu dan 3% berbanding suku sebelumnya, sejajar pergerakan harga minyak mentah sebelum ini.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan purata harga gas domestik sepanjang 2026 susut 2% berbanding tahun lalu, dengan harganya dijangka mencapai paras terendah pada 3QFY26 sebelum kembali pulih.

Justeru, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Gas Malaysia, tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM5.00 daripada RM5.50 berdasarkan andaian harga gas domestik lebih rendah.
"Potensi kenaikan harga saham masih wujud sekiranya harga gas domestik kekal tinggi untuk tempoh lebih lama daripada jangkaan, sekali gus menyokong margin keuntungan syarikat," kata Maybank IB.
Ia menganggarkan setiap kenaikan AS$10 (RM40) setong harga minyak Brent berpotensi meningkatkan keuntungan bersih kumpulan itu bagi FY27 kira-kira 9%, dan menaikkan TP sebanyak 50 sen sesaham.
Dari sudut pulangan kepada pemegang saham, firma itu menjangkakan Gas Malaysia mengekalkan nisbah pembayaran dividen 80% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, atau hasil dividen 4.5%.
Unjuran itu jelas Maybank IB, adalah lebih tinggi daripada dasar minimum pembayaran dividen 75% yang diamalkan sejak syarikat berkenaan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2012.
"Secara keseluruhan, sentimen pasaran terhadap saham kumpulan itu kini lebih berhati-hati apabila hanya dua firma penyelidikan yang membuat liputan masih mengekalkan saranan 'beli'," tambahnya
Katanya, tiada firma terlibat yang memberikan saranan 'jual', manakala purata TP dalam tempoh 12 bulan akan datang ditetapkan kira-kira RM5.42 sesaham. - DagangNews.com




