johardy06/08/2026 - 13:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos - Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) mengekalkan unjuran purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada RM4,450 satu tan metrik bagi 2026 dan RM4,300 satu tan metrik bagi 2027, mencerminkan keyakinan bahawa harga komoditi itu akan terus kekal tinggi meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global.
Firma penyelidikan itu menjangkakan bekalan global yang semakin ketat serta permintaan yang kekal kukuh akan terus menyokong harga MSM sepanjang separuh kedua 2026, sekali gus mewujudkan persekitaran yang menggalakkan kepada syarikat perladangan yang lebih tertumpu kepada segmen huluan.
Menurut HLIB, setiap kenaikan RM100 satu tan metrik dalam purata harga MSM dianggarkan mampu meningkatkan pendapatan syarikat perladangan di bawah liputannya antara tiga hingga lapan peratus, sekali gus menunjukkan tahap kepekaan pendapatan sektor itu yang tinggi terhadap pengukuhan harga minyak sawit.
Bagi musim pelaporan kewangan yang bermula pada 11 Ogos 2026, HLIB menjangkakan kebanyakan syarikat perladangan akan mencatatkan peningkatan pendapatan segmen huluan, disokong oleh pengeluaran tandan buah segar (BTS) yang lebih tinggi serta harga produk sawit yang lebih kukuh.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan keputusan kewangan adalah sejajar dengan unjuran kami, disokong oleh harga produk sawit dan trend pengeluaran setakat tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.
HLIB berkata, kebanyakan syarikat perladangan di bawah liputannya dijangka mencatatkan prestasi huluan yang lebih baik berbanding suku sebelumnya, didorong pemulihan bermusim aktiviti penuaian serta harga produk sawit yang lebih tinggi.
Harga Minyak Sawit Mentahdijangka terus disokong
Kecuali Hap Seng Plantations Holdings Bhd., semua syarikat perladangan di bawah liputannya merekodkan pemulihan berturut-turut dalam pengeluaran BTS, sejajar dengan peningkatan hasil bermusim.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun berkata, pendapatan segmen hiliran mungkin terjejas akibat jurang cukai eksport dan levi yang semakin melebar antara Malaysia dengan Indonesia, selain kenaikan harga isirung sawit.
Namun begitu, HLIB berpandangan sumbangan lebih kukuh daripada segmen huluan akan terus menyokong prestasi keseluruhan sektor selagi harga MSM kekal tinggi sepanjang baki tahun ini.
HLIB mengekalkan Hap Seng Plantations Holdings Bhd. sebagai pilihan utama sektor dengan saranan "Beli" dan harga sasaran RM2.89.
Firma itu turut menggemari syarikat perladangan yang mempunyai operasi huluan yang dominan serta pendedahan lebih besar di Malaysia kerana lebih berupaya meraih manfaat daripada kenaikan harga MSM, di samping kurang terdedah kepada risiko dasar dan kawal selia di luar negara. - DagangNews.com



