amree06/08/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos – Meridian Berhad terus mencatatkan prestasi kewangan yang lemah bagi tempoh 12 bulan berakhir pada 31 Mei 2026 (FY26), dengan kerugian bersih terkumpul mencecah RM10.67 juta.
Ia kini berstatus penerbit tersenarai yang terjejas selepas mencetuskan kriteria di bawah Perenggan 8.03A Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama kerana operasi perniagaannya dianggap tidak lagi signifikan.
Masalah kumpulan bertambah rumit apabila turut dikategorikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) susulan tindakan juruaudit luar menolak ulasan penyata kewangan teraudit bagi tempoh berakhir 31 Mei 2025.
"Syarikat kini bergelut dengan masa untuk mengemukakan pelan regularisasi bagi memulihkan kedudukan kewangan setelah memperoleh pelanjutan masa (EOT) buat kali keempat daripada bursa," kata Meridian.
Bursa Malaysia sudah memberikan lagi lanjutan tempoh sehingga 25 September 2026 untuk kumpulan itu menyerahkan pelan penstrukturan tersebut kepada pihak berkuasa kawal selia bagi tujuan kelulusan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, prestasi suku semasa menunjukkan kerugian bersih RM7.03 juta, peningkatan drastik berbanding hanya RM0.82 juta yang pernah dicatatkan pada suku sebelumnya.

Hasil 4QFY26 pula jatuh kepada hanya RM49,000, berbanding RM132,000 pada suku sebelumnya, yang mencerminkan penyusutan ketara dalam aktiviti perniagaan teras syarikat bagi tempoh tiga bulan itu.
"Pendapatan kumulatif bagi tahun kewangan 2026 adalah RM3.61 juta, sebahagian besar dijana jualan isirung sawit berjumlah RM0.86 juta serta segmen pelaburan dan jualan hartanah," kata Meridian.
Faktor utama yang menghimpit prestasi kewangan kumpulan berikutan beban kos operasi tinggi mencecah kira-kira RM7.47 juta, selain kos pembiayaan berjumlah RM1.63 juta bagi tempoh setahun berkenaan.
Kedudukan kecairan syarikat juga dalam keadaan lemah dengan baki tunai dan setara tunai berada pada paras negatif RM17.32 juta, sebahagian besar disebabkan isu 'overdraf bank' berjumlah RM18.07 juta.
Walaupun berdepan cabaran getir, pihak pengurusan Meridian sedang mengenal pasti peluang pendapatan baharu bagi memperkukuh prestasi dan memberikan impak positif jangka panjang. - DagangNews.com






