Prestasi kewangan Great Minster House jadi penentu kejayaan pelaburan Tabung Haji - Pemerhati Industri

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 10:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prestasi kewangan Great Minster House jadi penentu kejayaan pelaburan Tabung Haji - Pemerhati Industri Image from: Prestasi kewangan Great Minster House jadi penentu kejayaan pelaburan Tabung Haji - Pemerhati Industri hamden17/08/2026 - 10:18

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Prestasi kewangan Great Minster House di London akan menjadi penentu utama sama ada pemerolehan hartanah berkenaan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) satu kejayaan atau pun sebaliknya.

 

Seorang pemerhati industri berkata, tanpa mengira keputusan akhir pelaburan bernilai RM1.32 bilion itu, pemerolehan Great Minster House turut menguji sejauh mana langkah perlindungan dan tadbir urus pelaburan dilaksanakan dalam menguruskan dana pendeposit.

 

Menurut beliau, kerugian daripada sesuatu pelaburan tidak semestinya bermakna keputusan tersebut dibuat secara salah, manakala keuntungan yang diraih juga tidak semestinya membuktikan sesuatu pelaburan itu ditadbir dengan baik.

 

"Persoalan utamanya ialah sama ada risiko telah dikenal pasti, dicabar dan dinilai dengan sewajarnya sebelum wang pendeposit digunakan," katanya lapor NST.

 

Beliau berkata, pendekatan sedemikian penting khususnya bagi pelaburan bernilai besar yang melibatkan dana institusi awam dan aset di luar negara.

 

"Great Minster House bukan sekadar cerita mengenai hartanah. Ia merupakan ujian terhadap tadbir urus pelaburan," katanya lagi.

 

Pelaburan Mengikut Proses Ditetapkan

Tabung Haji sebelum ini menjelaskan bahawa pemerolehan Great Minster House daripada syarikat tersenarai di Singapura, Sinarmas Land Ltd pada 2022, dilaksanakan mengikut proses penilaian dan kelulusan pelaburan yang ditetapkan.

 

Menurut Tabung Haji, proses tersebut merangkumi usaha wajar serta penilaian kewangan dan komersial, dengan keputusan pelaburan dibuat berdasarkan keadaan pasaran, maklumat dan penilaian profesional yang tersedia pada ketika itu.

 

Institusi itu turut berkata keputusan tersebut dibuat dengan input daripada pasukan dalaman berkaitan, penasihat serta penyedia perkhidmatan luar yang dilantik.

 

Pemerolehan itu menjadi perhatian susulan persoalan mengenai tadbir urus dan langkah perlindungan pelaburan selepas penstrukturan semula Tabung Haji.

 

Persoalan itu turut mengambil kira cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, yang antara lain mengesyorkan kriteria lebih jelas bagi pelantikan ahli lembaga, kepakaran relevan dalam kalangan anggota lembaga, sekatan terhadap ahli politik aktif daripada menganggotai lembaga serta pengawasan pelaburan yang lebih kukuh.

 

Bagaimanapun, semakan RCI hanya meliputi pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020, sedangkan Great Minster House diperoleh pada 2022.

 

Pemerhati itu berkata, cadangan RCI berkenaan tetap menyediakan kerangka penting untuk menilai pelaburan berskala besar, terutama apabila institusi membuat komitmen melebihi RM1 bilion terhadap satu aset di luar negara.

 

Katanya, penilaian terhadap Great Minster House akhirnya perlu dibuat berdasarkan prestasi kewangan dan keupayaan aset berkenaan menghasilkan pulangan yang disasarkan.

 

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa tumpuan tidak seharusnya hanya diberikan kepada persoalan sama ada pelaburan itu mencatat keuntungan atau kerugian.

 

Sebaliknya, kualiti proses membuat keputusan, penilaian risiko dan tahap cabaran terhadap andaian pelaburan sebelum dana pendeposit dibelanjakan merupakan aspek yang lebih penting dalam menentukan kekuatan tadbir urus pelaburan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved