
SHAH ALAM, 17 OGOS: Instrumen kewangan inovatif dan pelaburan strategik termasuk modal swasta akan dikenal pasti bagi menyokong pemerkasaan industri ekonomi penjagaan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata tumpuan turut difokus kepada peluang pelaburan baharu supaya dapat membuka banyak peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS), pihaknya juga akan mengiktiraf profesionalisme pekerja penjagaan selain turut memetakan jurang perundangan demi menjamin perlindungan sosial dan kebajikan mereka.
“Kita juga akan mengumpul cadangan intervensi berasaskan pengalaman turun ke lapangan untuk terus memperkukuh daya tahan keluarga selain meningkatkan produktiviti ekonomi sosial.
“Kerajaan Negeri kekal komited menterjemah hasrat ini dan melaksanakannya demi memastikan agenda ekonomi penjagaan berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai Perbincangan Meja Bulat Siri Ke 4: Ekonomi Penjagaan bertema ‘Ke Arah Model Pembiayaan Mampan Bagi Memperkukuh Ekosistem Penjagaan di Selangor’ hari ini.
Anfaal berkata ekonomi penjagaan perlu diiktiraf secara menyeluruh sebagai pelaburan strategik supaya perkhidmatannya dilihat secara inklusif, berkualiti dan berterusan.
“Sebab itu kita ambil langkah proaktif untuk meneroka kewangan sosial serta model pembiayaan mampan menerusi penglibatan aktif sektor swasta, institusi kewangan, wakaf, zakat serta dana impak sosial,” katanya.
Mengulas lanjut, langkah terbabit juga dilihat menyokong kerangka pembangunan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang menyasarkan pendapatan median isi rumah melebihi RM14,000 sebulan.
“Ini merupakan langkah kita merealisasikan hasrat ini menerusu Misi Ketiga dan Ke Empat RS-2, berkisar negeri berdaya huni, masyarakat penyayang dan juga tenaga kerja," katanya.
RS-2 menggariskan enam misi, 25 bidang dan 98 inisiatif meliputi pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat, pembangunan modal insan, keseimbangan antara daerah, kelestarian alam sekitar serta kecekapan pentadbiran.
Bagi sektor ekonomi, Selangor menyasarkan pertumbuhan ekonomi 6.1 peratus, pelaburan keseluruhan RM330 bilion serta kadar pengangguran dikurangkan kepada 2.2 peratus menjelang 2030.
RS-2 turut memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pendapatan antara daerah, selain meningkatkan kualiti hidup masyarakat menerusi pembangunan perumahan, pengangkutan awam dan kemudahan sokongan.
Kerangka itu menjadi kesinambungan kepada Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dengan pelaksanaan RS-2 kini menjadi panduan utama Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran pembangunan Selangor sehingga 2030.






