Tabung Haji pertahan pembelian RM1.32 bilion Great Minster House di London, tegaskan semua proses kelulusan pelaburan dipatuhi 

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 10:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tabung Haji pertahan pembelian RM1.32 bilion Great Minster House di London, tegaskan semua proses kelulusan pelaburan dipatuhi  Image from: Tabung Haji pertahan pembelian RM1.32 bilion Great Minster House di London, tegaskan semua proses kelulusan pelaburan dipatuhi  hamden17/08/2026 - 10:18

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menegaskan pemerolehan Great Minster House di London bernilai RM1.32 bilion pada 2022 dilaksanakan mengikut proses penilaian dan kelulusan pelaburan yang telah ditetapkan.

 

Menurut Tabung Haji, proses berkenaan termasuk usaha wajar serta penilaian kewangan dan komersial sebelum keputusan pelaburan dibuat.

 

Penjelasan itu dibuat susulan persoalan mengenai tadbir urus dan langkah perlindungan pelaburan berkaitan pemerolehan tersebut yang tidak termasuk dalam skop Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.

 

RCI hanya meneliti pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020, sedangkan Great Minster House diperoleh daripada syarikat tersenarai di Singapura, Sinarmas Land Ltd pada 2022.

 

Tabung Haji berkata keputusan pelaburan dibuat berdasarkan keadaan pasaran, maklumat serta penilaian profesional yang tersedia pada ketika itu.

 

"Ini dilakukan dengan input daripada pasukan dalaman yang berkaitan, penasihat serta penyedia perkhidmatan luar yang dilantik," katanya lapor NST.

 

Prestasi Kewangan Ukuran Kejayaan Sebenar

Bagaimanapun, seorang pemerhati industri berkata ukuran sebenar kejayaan pelaburan berkenaan bergantung kepada prestasi kewangan aset tersebut.

 

Katanya, tanpa mengira keputusan akhir pelaburan bernilai RM1.32 bilion itu, pemerolehan Great Minster House turut menguji sejauh mana langkah perlindungan dan tadbir urus pelaburan dilaksanakan dalam menguruskan dana pendeposit.

 

Menurut beliau, kerugian daripada sesuatu pelaburan tidak semestinya bermakna keputusan tersebut dibuat secara salah, manakala keuntungan yang diraih juga tidak semestinya membuktikan sesuatu pelaburan itu ditadbir dengan baik.

 

"Persoalan utamanya ialah sama ada risiko telah dikenal pasti, dicabar dan dinilai dengan sewajarnya sebelum wang pendeposit digunakan," katanya.

 

Beliau berkata, pendekatan sedemikian penting khususnya bagi pelaburan bernilai besar yang melibatkan dana institusi awam dan aset di luar negara.

 

"Great Minster House bukan sekadar cerita mengenai hartanah. Ia merupakan ujian terhadap tadbir urus pelaburan," katanya lagi.

 

Laporan RCI antara lain mencadangkan kriteria yang lebih jelas bagi pelantikan ahli lembaga, kepakaran berkaitan dalam kalangan anggota lembaga, sekatan terhadap ahli politik aktif daripada menganggotai lembaga Tabung Haji, pengasingan tanggungjawab menteri yang lebih jelas serta pengawasan pelaburan yang lebih kukuh.

 

Pemerhati itu berkata langkah perlindungan berkenaan amat relevan apabila sesebuah institusi membuat komitmen melebihi RM1 bilion terhadap satu aset di luar negara. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved