Prestasi sektor pengguna diunjur sederhana pada 2H25 disebabkan ketiadaan perayaan besar, kata CIMB Securities

11/09/2025 - 15:20
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 11 Sept - Sektor pengguna diunjur mencatatkan prestasi lebih sederhana pada separuh kedua 2025 (2H25) disebabkan ketiadaan sambutan perayaan besar, sentimen pengguna yang lemah akibat ketidaktentuan global serta tekanan inflasi dan pelan rasionalisasi subsidi.
CIMB Securities berkata, perbelanjaan pengguna kini lebih tertumpu kepada barangan keperluan asas manakala peruncit barangan bukan keperluan berdepan tekanan akibat kenaikan kos serta percukaian baharu.
Katanya, 14 syarikat pengguna di bawah liputannya pada suku kedua, tujuh mencapai jangkaan, dua mengatasi ramalan manakala lima lagi gagal memenuhi sasaran berikutan sentimen yang lebih lemah, ketiadaan jualan bermusim perayaan serta kos operasi yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu mengekalkan pendirian “neutral” terhadap sektor tersebut dan memilih 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad, Farm Fresh Berhad serta Padini Holdings Berhad sebagai pilihan utama, dengan alasan kedudukan defensif serta keupayaan mengekalkan bahagian pasaran ketika perbelanjaan pengguna lebih perlahan.
Mereka turut mengekalkan saranan “beli” bagi saham-saham tersebut, dengan harga sasaran masing-masing RM2.80, RM2.40 dan RM2.40 sesaham.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan corak perbelanjaan pengguna akan kekal berasaskan nilai, dengan tumpuan kepada keperluan harian berbanding barangan tidak penting," katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities menjangkakan pertumbuhan hasil berterusan pada 2H25, disokong peluasan kedai dan pembukaan semula cawangan oleh syarikat seperti 99 Speedmart dan Mynews Holdings Berhad.
Nestle (M) Berhad dijangka pulih secara beransur-ansur daripada kesan boikot, manakala Farm Fresh berpotensi meraih manfaat daripada pelancaran produk baharu, peningkatan kapasiti pengeluaran dan jualan eksport yang lebih kukuh.
Namun begitu, margin dijangka kekal tertekan akibat kos input dan buruh yang lebih tinggi, di samping Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 8% ke atas perkhidmatan sewaan yang akan menjejaskan peruncit berasaskan pusat beli-belah.
Firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan asas berkemungkinan digerakkan oleh peruntukan kerajaan sebanyak RM13 bilion untuk 5.4 juta isi rumah berpendapatan rendah serta Sumbangan Asas Rahmah e-kredit sekali sahaja bernilai RM100 untuk 22 juta rakyat Malaysia.
Peruntukan Jualan Rahmah Madani juga telah digandakan kepada RM600 juta.
Katanya, langkah-langkah ini seharusnya dapat meredakan kenaikan kos sara hidup dan menyokong permintaan terhadap keperluan asas, namun secara keseluruhan perbelanjaan pengguna akan kekal berasaskan nilai, memihak kepada peruncit yang berorientasikan barangan keperluan.- DagangNews.com
standard

