Belanjawan 2026 berpotensi menjadi pendorong penarafan semula saham sektor hartanah, kata TA Securities

10/09/2025 - 14:57
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 10 Sept - Belanjawan 2026 berpotensi menjadi pemangkin kepada saham hartanah domestik berikutan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan penurunan 1.3% dalam jumlah transaksi tetapi peningkatan 1.9% dalam nilai bagi separuh pertama 2025 (1H25) berbanding 1H24.
TA securities yang mengekalkan saranan “overweight” untuk saham hartanah berkata, Belanjawan 2026 akan menjadi peluang kepada penilaian semula memandangkan ia masih di bawah paras tertinggi tahun lalu.
Tahap harga semasa dilihat menarik untuk memasuki pasaran dengan pemaju yang memiliki asas kukuh, selaras dengan dasar monetari yang semakin longgar, kata firma penyelidikan itu.
Bagi saham hartanah yang diliputi, Sime Darby Property Berhad menerima saranan “beli” dengan harga sasaran (TP) RM2.05 kerana rekod pelaksanaan yang baik di bawah strategi pertumbuhan syarikat, kepimpinan dalam pembangunan industri, prestasi kewangan kukuh serta asas pendapatan berulang yang semakin meningkat.
Firma penyelidikan itu juga memberikan saranan “beli” ke atas IOI Properties Group Berhad dengan TP RM2.78 kerana pegangan tanah strategik di Johor, kedudukan kukuh dalam koridor pertumbuhan utama, serta sumbangan yang semakin meningkat daripada segmen pelaburan hartanah termasuk penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) yang akan datang.
Belanjawan 2026, yang merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), dijangka memperkenalkan langkah-langkah struktur seperti penubuhan agensi perumahan nasional, penjelasan mengenai model bina-dahulu-jual kemudian, pengoperasian Akta Pembaharuan Bandar serta penjajaran insentif dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara bagi menggalakkan pembinaan hijau dan produktif.
Pada masa sama, penegasan semula kerajaan terhadap projek infrastruktur pengangkutan berskala besar seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Sistem Transit Rapid (RTS) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersama sokongan fiskal untuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta koridor ekonomi lain dijangka menyediakan dimensi pertumbuhan yang lebih luas.
“JS-SEZ dijangka meraih manfaat daripada kemasukan pelaburan pusat data, logistik dan pembuatan berteknologi tinggi, manakala Pulau Pinang terus memperkukuh ekosistem elektrik dan elektroniknya.
“Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) Sarawak dan Koridor Pembangunan Sabah pula sedang memperluas kapasiti hiliran tenaga, perindustrian dan logistik,” katanya sambil menambah, pelaburan berasaskan koridor telah mendorong permintaan tanah dan industri, mewujudkan pekerjaan, meningkatkan pertumbuhan upah serta memperbaiki kemampuan perumahan secara struktur melangkaui subsidi sementara.
Sementara itu, NAPIC melaporkan, pasaran hartanah merekodkan 196,232 transaksi bernilai RM107.7 bilion, mencerminkan penurunan 1.3% dalam jumlah tetapi peningkatan 1.9% dalam nilai berbanding separuh pertama 2024.
Aktiviti pasaran adalah bercampur-campur mengikut segmen: jumlah komersial dan pertanian masing-masing susut 1.3% dan 4%, manakala transaksi industri serta tanah pembangunan meningkat 8.5% dan 3.7%.
“Dari segi nilai, komersial, industri dan tanah pembangunan masing-masing meningkat 3.1%, 5.6% dan 18.3%, manakala pertanian jatuh mendadak sebanyak 11.3%,” kata TA Securities.
Dalam segmen kediaman, yang merangkumi sebahagian besar aktiviti pasaran, firma penyelidikan itu menyatakan transaksi menurun 1.4% tahun ke tahun dari segi jumlah dan susut 0.1% dari segi nilai.
“Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang, yang secara kolektif menyumbang sekitar separuh daripada jumlah transaksi nasional, turut mencatatkan hanya sedikit penyusutan sebanyak 0.2% dalam jumlah dan 0.1% dalam nilai berbanding 1H24,” katanya. - DagangNews.com
standard

