Prestij AJL kini mula menghilang?

LocalMusic
21 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Prestij AJL kini mula menghilang?

ADA sesuatu yang terasa tidak kena dengan Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-40 yang berlangsung malam Ahad lalu.

Bukan soal siapa menang dan siapa tewas. Bukan juga soal kita mahu mempertikaikan keputusan juri. Tetapi persoalan lebih besar ke mana sebenarnya arah tuju Juara Lagu selepas empat dekad?

AJL suatu ketika dahulu bukan sekadar pentas pertandingan lagu. Ia gelanggang paling berprestij bagi membuktikan sesebuah lagu itu mempunyai jiwa, lirik yang kuat, melodi berbekas dan persembahan yang mampu meninggalkan kesan.

Selepas menyaksikan AJL ke-40, timbul persoalan sama ada aura itu masih pada tahap sama seperti dulu. Kalau kita menoleh ke belakang, perjalanan menuju pentas Juara Lagu bukan mudah.

Filem Rock arahan Allahyarham Mamat Khalid atau kisah dunia rock digambarkan dalam filem itu pernah memperlihatkan betapa sukar perjalanan kumpulan muzik era 1980-an dan 1990-an mendapat tempat dalam industri.

Dalam kisah kumpulan Lipan Bara misalnya, mereka bermula dari bawah, mengejar peluang persembahan, menghasilkan lagu dan berusaha mendapatkan pengiktirafan.

Itulah realiti sebuah industri muzik pada suatu ketika dulu. Untuk sampai ke pentas besar, penyanyi perlu ada lagu.

Seperti pernah disentuh oleh penggiat muzik dan anggota KRU, Adry Abdul Halim, terdapat kecenderungan dalam muzik hari ini untuk menganggap suara semakin tinggi, jeritan semakin kuat dan teknik vokal semakin kompleks sebagai ukuran seseorang penyanyi itu hebat.

“Hakikatnya, menjerit bukan semesti menyanyi. Suara tinggi bukan automatik menjadikan sesebuah lagu itu besar.

“Lebih penting penghayatan. Ada penyanyi yang tidak perlu melaung pun mampu membuat pendengar terdiam.

“Ada lagu tidak memerlukan nota vokal tinggi tetapi liriknya mampu menikam hati.

“Itulah kuasa sebuah lagu,” katanya dalam satu rancangan disiarkan di sebuah saluran televisyen sebelum ini.

Dahulu, pencipta lagu dan penulis lirik benar-benar memikirkan apa mahu disampaikan. Ada cerita, ada pengalaman dan ada emosi.

Hari ini, kita kadang-kadang terlalu sibuk mencari siapa boleh menyanyi paling tinggi sehingga terlupa bertanya:

Apa sebenarnya hendak disampaikan oleh lagu itu?

AJL juga mungkin perlu berani melakukan sesuatu yang pernah menjadi kekuatannya dahulu dengan memperjelaskan semula identiti dan kategori muzik.

Mengapa tidak dipertimbangkan semula pengkhususan seperti balada, rock, rock alternatif dan kategori lain yang benar-benar mencerminkan kepelbagaian muzik Malaysia?

Bukan mahu mengecilkan mana-mana genre, sebaliknya supaya pertandingan tidak menjadi satu medan terlalu bercampur sehingga lagu mempunyai kekuatan berbeza akhirnya dinilai dalam ruang sama. Biarkan semuanya bertanding, tetapi berikan ruang yang adil untuk setiap identiti muzik itu berkembang.

Lebih membimbangkan persepsi stesen televisyen mempunyai artis pilihan atau favourite masing-masing. Persepsi ini, sama ada benar atau tidak, mesti dihapuskan.

Dalam pertandingan membawa nama ‘Juara Lagu’ yang sepatutnya menjadi juara ialah lagu terbaik, bukan artis paling popular, bukan wajah kerap muncul di televisyen dan bukan nama paling banyak dapat ruang promosi.

The post Prestij AJL kini mula menghilang? appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved