PRN Johor: Amanah sedia tanding DUN Kota Iskandar, Skudai

LocalPolitics
22 Jul 2025 • 10:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dzulkefly

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Iskandar Puteri menyatakan kesediaan untuk bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Iskandar dan Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Menurut Ketua Amanah Kawasan Iskandar Puteri, Sr Dzulkefly Ahmad keputusan itu dibuat hasil ketetapan Mesyuarat Agung Tahunan kawasan berkenaan pada Ahad.

“Amanah pernah bertanding di DUN Kota Iskandar dalam PRN sebelum ini dan akan kembali menawarkan calon mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kedua-dua kerusi berkenaan.

“Ini sekali gus mencerminkan kesungguhan Amanah dalam memperkukuh kekuatan PH di kawasan strategik bagi Parlimen Iskandar Puteri.

“Selain itu, ia adalah demi menjamin kesinambungan pentadbiran yang progresif dan inklusif untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dzulkefly yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Johor berkata, PH wajar diberikan ruang untuk bertanding secara solo di kerusi berkenaan berdasarkan kekuatan akar umbi dan prestasi parti yang konsisten.

Justeru katanya, sebarang rundingan politik menjelang PRN perlu mengambil kira faktor calon dan kekuatan sebenar parti di kawasan masing-masing.

“Amanah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pertandingan tiga penjuru jika perlu, dengan membawa agenda perpaduan rakyat, reformasi institusi dan pembangunan mampan.

“Pendirian itu dibuat bagi memastikan rakyat Johor terus diberikan pilihan terbaik dalam memilih wakil rakyat yang berprinsip, berwibawa dan berpaksikan kepentingan rakyat; bukannya terikat kepada agenda sempit politik kuasa,” katanya.