PRN Johor: Anwar seru calon PH kempen dengan ikhlas, utamakan politik beradab

LocalPolitics
27 Jun 2026 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Anwar seru calon PH kempen dengan ikhlas, utamakan politik beradab
Anwar menyeru para calon supaya mendekati rakyat bukan sekadar untuk meraih undi, sebaliknya bagi menggalas amanah yang diberikan dengan sepenuh hati. Foto Facebook Anwar Ibrahim

JOHOR BAHRU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengucapkan selamat berkempen kepada semua calon PH yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Anwar menyeru para calon supaya mendekati rakyat bukan sekadar untuk meraih undi, sebaliknya bagi menggalas amanah yang diberikan dengan sepenuh hati.

Beliau turut menekankan kepentingan bekerja keras dan menyantuni semua lapisan masyarakat serta membuktikan bahawa politik beradab sentiasa mengatasi politik kebencian.

"Insya-ALLAH apabila kita ikhlas membela nasib rakyat Johor, mereka akan membuat pilihan yang tepat demi masa depan negeri tercinta,” katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR turut memetik ayat 159 daripada Surah Ali ’Imran yang menuntut umatnya supaya bertawakal kepada Allah SWT selepas berazam dan berusaha.

Proses penamaan calon bagi PRN Johor ke-16 hari ini selesai dengan 172 calon disahkan layak bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PH dan Barisan Nasional masing-masing mempertaruhkan 56 orang calon, Perikatan Nasional (33), Parti Bersama Malaysia (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon, manakala Bebas (enam).

PRN Johor akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved