PRN Johor: Bersama umum lima Aku Janji Khidmat

LocalPolitics
30 Jun 2026 • 2:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Bersama umum lima Aku Janji Khidmat
Rafizi pada sidang akhbar di Taman Sri Tebrau pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) tidak tampil dengan manifesto pilihan raya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memperkenalkan lima Aku Janji Khidmat.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata pendekatan itu diambil kerana parti berkenaan hanya bertanding di 15 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus tidak berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Katanya, lima aku janji berkenaan menjadi komitmen calon-calon Bersama untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan memastikan kerajaan negeri sentiasa dipantau melalui mekanisme semak dan imbang.

"Kami tidak menawarkan manifesto kerana kami bukan bertanding untuk membentuk kerajaan. Sebaliknya, kami menawarkan Aku Janji Khidmat yang akan dilaksanakan sama tanpa mengira keputusan pilihan raya.

"Matlamatnya ialah memastikan rakyat mempunyai wakil yang konsisten membawa suara mereka dan memantau setiap keputusan kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar Bersama di Taman Sri Tebrau, di sini, pada Selasa

Rafizi berkata, aku janji pertama ialah membuka saluran aduan rakyat melalui daftar bergerak setiap bulan serta platform digital bagi memudahkan orang ramai menyalurkan isu kepada pimpinan parti.

Menurutnya, Bersama juga akan menganjurkan forum awam, kempen dan petisyen bagi memastikan isu yang dihadapi rakyat Johor terus mendapat perhatian pihak berkuasa.

"Aku janji kedua pula memberi penekanan kepada peranan pembangkang yang konstruktif dengan mengemukakan cadangan penyelesaian terhadap setiap isu yang dibangkitkan melalui kerjasama bersama jabatan dan agensi kerajaan.

"Bersama juga akan memperjuangkan hak pemilikan rumah, mempertahankan kampung tradisi daripada tekanan pembangunan serta menuntut penambahbaikan dasar perumahan supaya lebih ramai rakyat Johor mampu memiliki kediaman," katanya.

Selain itu, katanya, Bersama akan memperjuangkan sistem pengangkutan awam bersepadu berasaskan bas sebagai pelengkap kepada pembangunan rangkaian transit massa di Johor Bahru.

"Pada masa sama, kami akan memperkukuhkan fungsi semak dan imbang dengan memantau prestasi kewangan kerajaan negeri, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan bagi memastikan tiada ketirisan atau pembaziran wang rakyat.

"Ini adalah komitmen kami untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan berkesan sepanjang penggal, bukan sekadar ketika musim pilihan raya," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved