PRN Johor: Calon PH Bukit Batu lapor polis, kesal bahan kempen disabotaj

LocalPolitics
5 Jul 2026 • 1:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Calon PH Bukit Batu lapor polis, kesal bahan kempen disabotaj
Arthur ketika sidang media sempena kempen PRN Johor ke-16 di Bilik Gerakan Utama N51 Bukit Batu pada Ahad. Foto Bernama

KULAI - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern melahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan sabotaj dan perbuatan khianat ke atas bahan kempennya.

Beliau mendedahkan bahawa bendera parti miliknya dicampakkan ke dalam longkang, manakala beberapa papan tanda (billboard) kempen turut dikoyakkan dalam kejadian di Kampung Sri Paya yang disedari, semalam.

Susulan itu, Arthur berkata, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Air Bemban bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Kejadian sama juga berlaku di Taman Putri, billboard dan bendera kena sabotaj. Bagaimanapun, setakat ini kita tidak tahu siapa pelaku," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama N.51 Bukit Batu di sini pada Ahad.

Meskipun berdepan provokasi sedemikian, Arthur menegaskan perkara itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkempen bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Beliau dalam pada itu menyeru semua pihak agar mengamalkan politik matang dan berkempen secara harmoni tanpa melibatkan sebarang unsur permusuhan atau khianat.

DUN Bukit Batu menyaksikan persaingan lima penjuru melibatkan Arthur (PH-PKR), R Kumaran (BN-MIC), M Premanand (MUDA), G Tamili (Bersama) serta calon Bebas, Kamaruzaman Ali

Pada PRN Johor kali ini sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai. - Bernama

INFO

N51 Bukit Batu: 49,963 pengundi

1. R Kumaran (BN-MIC)

2. Kamaruzaman Ali (Bebas/IND)

3. G Tamili (Bersama)

4. Chiong Sen Sern (PH-PKR)

5. M Premanand (MUDA)

(2022: Chiong Sen Sern: PKR: Maj:137)

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved