PRN Johor: Kehadiran pemimpin Pas ke program BN tarik perhatian

LocalPolitics
30 Jun 2026 • 3:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Kehadiran pemimpin Pas ke program BN tarik perhatian
Onn Hafiz bersama jentera BN ketika Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat di Rengit.

BATU PAHAT - Kehadiran dua pemimpin Pas Batu Pahat pada Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera Barisan Nasional (BN) Bahagian Batu Pahat di Rengit, pada Selasa mencuri perhatian.

Dua pemimpin berkenaan ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Batu Pahat, Misran Samian dan Ahli Jawatankuasa PAS kawasan, Hazrin Abd Hamid.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan kehadiran kedua-dua pemimpin Pas itu sebagai perkembangan yang positif dan membuktikan BN bersedia menerima sokongan daripada mana-mana pihak.

"Saya sendiri terkejut apabila mereka hadir. Sudah tentu kita mengalu-alukan kehadiran dan sokongan mereka kepada calon-calon BN," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Menurut Onn Hafiz, kehadiran pemimpin Pas itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai isu perkauman seperti didakwanya cuba dimainkan oleh DAP sepanjang kempen PRN.

"Seperti yang saya sebutkan dalam ucapan tadi, tidak ada isu perkauman seperti yang cuba dimomokkan oleh pemimpin DAP untuk menakutkan pengundi Cina.

"Mereka sendiri pernah bersama Pas suatu ketika dahulu dan ketika itu tidak pula timbul isu. Apabila Pas hadir memberi sokongan kepada BN, tiba-tiba ia dijadikan polemik," katanya.

Beliau berkata, rakyat Johor cukup matang untuk menilai bentuk kerjasama politik yang berlaku dan tidak mudah dipengaruhi naratif yang bertujuan memecah-belahkan masyarakat.

Turut hadir pada program itu calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penggaram, Boo Chin Leong; calon DUN Senggarang, Mohd Yusla Ismail dan calon DUN Rengit, Mohd Zaidi Japar.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved