PRN Johor: Kekalahan PN sudah dijangka, pengerusi perlu bertanggungjawab letak jawatan

LocalPolitics
11 Jul 2026 • 10:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Kekalahan PN sudah dijangka, pengerusi perlu bertanggungjawab letak jawatan
Keadaan lengang di Bilik Gerakan Utama Bersatu di Pagoh pada Sabtu.

PAGOH - Kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 didakwa sudah dijangka berikutan tindakan Pas yang memutuskan hubungan dengan Bersatu selain kelewatan persiapan menghadapi pilihan raya.

Sumber dalaman Bersatu berkata, tindakan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu kira-kira seminggu selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah memberikan persepsi negatif terhadap PN pada saat gabungan itu sepatutnya memperkukuh jentera menghadapi pilihan raya.

Menurutnya, persiapan menghadapi PRN juga didakwa tidak berjalan lancar apabila kepimpinan PN tidak dipanggil menyertai mesyuarat persediaan, sekali gus menyebabkan gerak kerja jentera menjadi lewat.

“Pas putus hubungan dengan Bersatu ketika hendak menghadapi pilihan raya. Tindakan itu memberi tanggapan negatif kepada PN.

“Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri tidak memanggil parti gabungan menyebabkan berlaku kelewatan persiapan hadapi PRN. Mereka (Pas) masuk pilihan raya bukan untuk menang tapi untuk kalah,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan Utama Bersatu di sini pada Sabtu.

Beliau turut mendakwa, Pas sejak awal tidak benar-benar berhasrat untuk bertanding dalam PRN Johor dan hanya membuat keputusan menyertai pilihan raya selepas rundingan dengan pihak lain tidak mencapai kata sepakat.

“Apabila kenyataan Pengerusi PN sebelum ini tersebar, ia seolah-olah menunjukkan ada hasrat untuk tidak bertanding kerana wujud rundingan di belakang tabir. Selepas rundingan itu gagal, barulah keputusan dibuat untuk bertanding.

“Bagi kami, penyertaan Pas bukan dengan matlamat untuk menang, sebaliknya keadaan yang berlaku hanya merugikan PN,” dakwanya.

Menurut sumber itu lagi, tindakan beberapa pemimpin Pas yang didakwa enggan membantu calon Bersatu sepanjang kempen turut menimbulkan persoalan mengenai komitmen parti itu terhadap gabungan berkenaan.

“Dalam pilihan raya, setiap parti komponen sepatutnya memberikan komitmen penuh kepada calon gabungan. Jika ada kenyataan tidak mahu membantu atau menyokong pihak lain, ia memberi gambaran seolah-olah berlaku sabotaj dari dalam,” katanya.

Beliau turut mengaitkan siri peletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), termasuk Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, sebagai antara faktor yang menjejaskan keyakinan akar umbi terhadap PN sepanjang kempen.

Sehubungan itu, beliau berpandangan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar perlu bertanggungjawab terhadap prestasi gabungan tersebut pada PRN Johor.

“Beliau perlu bertanggungjawab kerana jenama PN kini dilihat bercelaru. Keadaan ini memberi kesan kepada keyakinan penyokong terhadap gabungan,” dakwanya.

Sementara tinjauan Sinar Harian di Bilik Gerakan Utama Bersatu mendapati suasana di lokasi agak lengang tanpa kelibat pemimpin utama parti.

Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang difahamkan dijadualkan hadir bagi mengikuti proses pengiraan undi juga tidak kelihatan di bilik gerakan berkenaan setakat tinjauan dilakukan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved