PRN Johor: MCMC terima 29 aduan babitkan berita palsu, provokasi dan penipuan

LocalPolitics
11 Jul 2026 • 10:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: MCMC terima 29 aduan babitkan berita palsu, provokasi dan penipuan
Nie Ching bersama calon DUN Bukit Permai, Mohamad Shafwan Ani menunjukkan jari tanda selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

KULAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 29 aduan membabitkan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bermula 1 Jun hingga 9 Julai lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, 17 aduan melibatkan penyebaran berita palsu, 11 aduan berkaitan ucapan kebencian berunsur 3R, manakala satu kes membabitkan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran.

"Semua aduan yang diterima telah disalurkan kepada platform media sosial untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut Nie Ching berkata, bagi kes ucapan kebencian berunsur 3R, sebanyak sembilan kes membabitkan isu kaum, manakala masing-masing satu kes berkaitan agama dan institusi diraja.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penyebaran maklumat yang tidak sahih atau kandungan berunsur kebencian.

"Saya menyeru kepada pengundi jangan terpedaya dengan berita-berita palsu ataupun kenyataan yang berunsur benci.

"Jadilah seorang netizen yang celik digital dan gunakan kuasa kita sebagai seorang pengundi dengan bijaksana,"katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved