'PRN Negeri Sembilan akan ulangi penolakan Melayu terhadap PH' - Ahmad Fadhli

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 8:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'PRN Negeri Sembilan akan ulangi penolakan Melayu terhadap PH' - Ahmad Fadhli
Ahmad Fadhli

SHAH ALAM – Pas yakin Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan mengulangi semula penolakan besar-besaran orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) sebagaimana keputusan PRN Johor.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, usaha kerajaan menggunakan pengumuman peruntukan serta mempamerkan replika cek ketika kempen pilihan raya tidak lagi mampu mempengaruhi pengundi.

Malah beliau menyifatkan pendekatan itu sebagai kaedah lapuk yang masih digunakan bagi meraih sokongan.

“Kaedah ini sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Tapi menteri-menteri yang tiada guna seperti ini tetap mahu menggunakan kaedah ini untuk kempen PRN. Terpulanglah dan teruskanlah.

“Apa yang penting ialah, PRN Negeri Sembilan akan mengulangi semula penolakan besar-besaran orang Melayu terhadap PH insya-ALLAH. Tunggu dan lihatlah nanti,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dilapor menyalurkan peruntukan berjumlah RM430.26 juta kepada Negeri Sembilan bagi melaksanakan 80 projek pembangunan utama di seluruh negeri itu.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut disalurkan sejak tahun 2023 bagi pelaksanaan projek-projek melibatkan pelbagai sektor termasuk pembinaan dan penyenggaraan infrastruktur awam, perumahan rakyat, pembangunan landskap, rumah ibadat bukan Islam (RIBI), pembangunan kampung baharu serta pelbagai kemudahan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Keputusan PRN Johor pula menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan mandat mentadbir Johor selepas memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membentuk semula kerajaan negeri dengan majoriti lebih besar.

Kemenangan itu memperlihatkan BN menambah lapan kerusi berbanding 40 kerusi yang dimenangi pada 2022 sekali gus kali gus menguasai majoriti dua pertiga DUN Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan keputusan lengkap pada kira-kira jam 1 pagi Ahad, dengan yang terakhir diperoleh ialah DUN Puteri Wangsa sekali gus menyaksikan PH menang di lapan kerusi.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, peruntukan RM116 juta seperti yang tertulis di replika cek dalam gambar berita terbabit ialah untuk tahun 2026 sahaja.

“Sebahagiannya tentulah sudah dibelanjakan untuk tujuan pembangunan kerana sekarang sudah bulan Julai, sebahagiannya lagi mungkin masih dalam proses untuk diagihkan ke negeri.

“Tetapi memandangkan kerana PRN (Negeri Sembilan) sudah dekat, jumlah ini ditulis semula dan ditayangkan di replika cek untuk Menteri KPKT - yang berjanji mahu letak jawatan jika UMNO menang besar di Johor - tayang wajahnya dan diambil gambar,” dakwanya lagi.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved