
JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) — Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan membuka tirai secara rasmi esok dengan proses penamaan calon bagi menentukan bakal wakil rakyat yang bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Proses penamaan calon dijadual bermula dari 9 hingga 10 pagi di pusat penamaan calon (PPC) yang ditetapkan, sebelum senarai calon yang layak bertanding diumumkan sebaik selesai proses semakan dan pengesahan.
Pengundian PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal 7 Julai.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PRN kali ini melibatkan seramai 2,727,926 pemilih layak untuk mengundi merangkumi 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Menjelang hari penamaan calon esok, beberapa parti politik utama tanah air telah mengumumkan senarai calon masing-masing yang menampilkan gabungan dinamik melibatkan penyandang, muka baharu serta kemunculan semula bekas pemimpin.
Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang melibatkan 20 calon daripada PKR, Amanah (19) dan DAP (17).
Barisan Nasional (BN) pula bertanding di kesemua kerusi DUN menampilkan 36 calon UMNO, 16 calon MCA serta empat calon MIC.
Perikatan Nasional (PN) turut mengumumkan PAS akan bertanding di 11 kerusi DUN, Bersatu (16), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) manakala Pejuang satu kerusi.
Persaingan kali ini turut melibatkan penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang bertanding empat kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) satu calon serta kemunculan sulung Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dijangka bertanding 15 kerusi DUN.
The post PRN Johor Ke-16 Buka Tirai Dengan Penamaan Calon Esok, Kempen Dekati Pengundi Bermula appeared first on The Malaysian Update.






