JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) mengumumkan 10 tawaran Johor Untuk Semua dan lima Inisiatif Pencetus Perubahan Johor sebagai manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, perumahan, pendidikan dan pembangunan anak muda.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, antara tawaran utama ialah pelaksanaan Skim Kesihatan Johor yang menyediakan perlindungan kesihatan sehingga RM100,000 setahun.
Beliau berkata, skim itu akan menghidupkan semula Kad Sihat Johor yang pernah diperkenalkan selepas PRN 2018 dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500,000 rakyat, khususnya golongan B40, M40 serta orang kelainan upaya (OKU) yang layak.
"PH Johor juga merancang membina 80,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun, dengan sasaran 16,000 unit dibina setiap tahun.
"Keutamaan akan diberikan kepada keluarga muda dan pekerja tempatan, selain mempergiat pembinaan rumah generasi kedua FELDA," katanya ketika melancarkan Manifesto Pakatan Harapan Johor di sini pada Jumaat.
Suhaizan berkata, PH turut memperuntukkan RM500 juta menerusi Dana Anak Muda Johor yang dijangka memberi manfaat kepada 200,000 belia di negeri ini.
Menurutnya, dana itu akan digunakan bagi melaksanakan program TVET Premium Johor, latihan kecerdasan buatan (AI), robotik dan digital, Dana Usahawan Muda Johor serta Program Jaminan Pekerjaan Pertama.
Selain itu, katanya, PH berjanji menyediakan bantuan rumah pertama berjumlah RM8,000 kepada 50,000 keluarga muda bagi membantu mereka memiliki kediaman sendiri.
Dalam sektor pendidikan pula, PH menyasarkan semua sekolah di Johor menikmati akses internet berkelajuan tinggi menjelang 2030, selain mewujudkan makmal AI dan robotik serta perpustakaan digital di setiap daerah.
Beliau berkata, PH juga akan memperkukuhkan kerjasama strategik antara sekolah, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi pengajian tinggi serta industri bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan ekonomi negeri.






