PRN Johor: PSM janji rumah mampu milik, peluang kerja, alam sekitar lestari di Skudai

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 6:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: PSM janji rumah mampu milik, peluang kerja, alam sekitar lestari di Skudai
Amir Syafik (tengah) ketika mengumumkan tiga teras manifesto yang ditawarkan PSM kepada pengundi DUN Skudai pada PRN Johor.

JOHOR BAHRU - Parti Sosialis Malaysia (PSM) menawarkan tiga teras utama manifesto yang akan diperjuangkan sekiranya diberikan mandat oleh pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon PSM bagi kerusi tersebut, Amir Syafiq Ameer Soekre berkata, fokus utama manifesto itu adalah isu perumahan mampu milik, pembangunan seimbang dengan alam sekitar serta peluasan peluang pekerjaan khususnya untuk golongan muda.

Menurutnya, isu perumahan menjadi keutamaan apabila rakyat kini semakin terbeban dengan harga rumah yang tinggi serta kos sewaan tidak selari dengan pendapatan semasa.

“PSM akan menuntut agar rumah mampu milik benar-benar mampu dimiliki, bukan sekadar mampu tengok. Kita juga mahu kawalan sewa rumah supaya lebih seimbang dengan pendapatan rakyat biasa.

“Kita cadangkan lebih banyak rumah transit bandar dibina untuk keluarga muda dan golongan berpendapatan rendah.

"Di Johor, dianggarkan 23,000 perkahwinan didaftarkan setiap tahun, jadi keperluan rumah baharu juga tinggi bagi menampung permintaan ini,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, antara cadangan lain ialah pembinaan rumah pangsa sewa, pengubahsuaian bangunan komersial terbiar kepada kediaman dan penambahbaikan sistem penawaran rumah agar lebih telus serta berkesan.

Bagi teras pembangunan seimbang alam sekitar pula, Amir Syafiq menegaskan keperluan penguatkuasaan lebih ketat terhadap operasi kilang dan pusat data supaya tidak menjejaskan ekosistem setempat termasuk sungai-sungai di sekitar Skudai.

Sementara itu, dalam aspek pekerjaan, beliau berkata ketidakseimbangan antara jumlah graduan dan peluang kerja perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.

“Kita melihat kira-kira 200,000 graduan baharu dihasilkan setiap tahun, tetapi hanya sekitar 50,000 peluang pekerjaan baharu diwujudkan. Ini mewujudkan jurang yang besar,” katanya.

Sehubungan itu, PSM mencadangkan agar kerajaan negeri menarik lebih banyak pelaburan industri tempatan berteknologi tinggi seperti pembuatan bas elektrik dan sektor industri hijau bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada anak muda.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved