Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kian terasa. Lihat sahajalah, calon dari pelbagai parti kini giat turun ke padang bagi memenangi hati pengundi melalui manifesto yang dibawa.
Antara yang paling mendapat perhatian adalah apabila bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerima cabaran untuk berdebat dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
RTM Sedia Jadi Pentas Dialog, Beri Peluang Bincang Hala Tuju Negeri Johor Secara Terbuka
Semalam (2 Julai), Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia menjadi platform bagi sesi dialog di antara Onn Hafiz dan Dr. Maszlee.
Jelas Fahmi yang merupakan Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), tawaran tersebut dibuat bagi memberi peluang kedua-dua pemimpin itu menjelaskan hala tuju negeri secara terbuka kepada rakyat.
“Kalau perlu, saya sedia menyediakan pentas di RTM TV1 untuk Dr. Maszlee dan Datuk Onn Hafiz berdebat ataupun kalau tidak mahu berdebat, kita boleh berdialog.
“Kita namakan sesi itu sebagai Dialog Halatuju Negeri Johor. RTM TV1 bersedia menyediakan platform, kita boleh tetapkan pada jam 9 malam dan memilih mana-mana tarikh yang sesuai, sama ada di Johor Bahru atau lokasi lain,” katanya yang dipetik dari Astro Awani.
Onn Hafiz Perlu Sedia Berdepan Pelbagai Pandangan Berbeza
Jelas Fahmi lagi, sebagai calon yang memimpin negeri, Onn Hafiz seharusnya perlu bersedia untuk berdepan dengan pelbagai pandangan termasuklah dari pihak yang mempunya pendirian berbeza.
“Saya percaya Datuk Onn Hafiz akan memberanikan diri untuk hadir berdialog dengan Dr. Maszlee. Ini bukan soal berdebat semata-mata, tetapi memberi peluang kepada rakyat mendengar sendiri pandangan kedua-dua pemimpin mengenai hala tuju Johor,” jelasnya.
Memetik Kosmo, Fahmi turut berpendapat kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ) yang menyatakan PH seharusnya menamakan calon Menteri Besar sebelum mengajak Onn Hafiz berdebat sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian.
Sebelum ini, KJ berpendapat debat tersebut sewajarnya diadakan antara dua individu yang berada di kedudukan setara sebagai calon Menteri Besar dan tidak melibatkan pemimpin yang belum mendapat pengesahan sebagai calon rasmi.
Jelas KJ, serangan berterusan PH terhadap Onn Hafiz menunjukkan bahawa Menteri Besar Johor itu sebagai ancaman politik serta aset besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor.
Debat Terbuka Bukan Pendekatan Sesuai – Onn Hafiz
Terdahulu, Onn Hafiz yang juga merupakan Pengerusi BN Negeri Johor menjelaskan debat terbuka antara calon bukanlah pendekatan sesuai.
Ini kerana jelasnya, ia dikhuatiri boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni ketika berkempen.
Terang Onn Hafiz, budaya politik di Johor selama ini lebih mementingkan adab, keharmonian dan perbahasan secara tertib bukan berbanding bertikam lidah secara terbuka.
Baca Artikel Berkaitan: Senarai Penuh Calon PRN Johor Ke-16
Baca Artikel Berkaitan: PRN Johor: “Jangan Sombong & Lupa Daratan” – Anwar Ingatkan Semua Berkempen Dengan Sopan
Baca Artikel Berkaitan: PRN Johor: Muhyiddin Ajak Rakyat Kenang Jasa PN, Urus Negara Ketika Covid-19





