Anak kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Omar Hafidz mendakwa dirinya dilabel sebagai ‘spy’ oleh segelintir ahli parti ketika turun membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin, beliau menyifatkan budaya terlalu mudah menghukum dan melabel seseorang sebagai musuh hanya akan menyukarkan usaha menarik lebih ramai golongan muda menyertai UMNO.
Omar Hafidz turut berkongsi pesanan yang pernah disampaikan bapanya mengenai buku Pendakwah Bukan Penghukum tulisan Hassan Al-Hudhaibi, yang menurutnya membawa mesej penting untuk diterapkan dalam dunia politik.
“Ayah saya (Mohd Puad Zarkashi) pernah beri tazkirah ringkas kepada saya mengenai sebuah buku bertajuk ‘Pendakwah Bukan Penghukum’ tulisan Hassan Al-Hudhaibi.
“Intipati yang beliau sampaikan cukup bermakna. Seorang pendakwah bukan tugasnya menghukum, tetapi mengajak. Saya percaya prinsip yang sama juga wajar diamalkan dalam politik,” tulisnya.

Beliau menjelaskan, meskipun menghormati keputusan bapanya meninggalkan UMNO, dirinya memilih untuk kekal bersama parti itu kerana mempunyai pendirian serta prinsip perjuangan sendiri.
Mengimbas pengalaman ketika pulang ke Johor pada Sabtu lalu bagi membantu kempen calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Omar Hafidz mendakwa dimaklumkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian bahawa kehadirannya dianggap menyusahkan parti.
Malah, beliau turut mendakwa ada pihak menganggap dirinya sebagai ‘spy’ kepada bapanya sehingga wujud arahan supaya gambar dirinya bersama calon tidak dimuat naik.
“Saya juga dimaklumkan terdapat pandangan bahawa saya dianggap sebagai ‘spy’ kepada ayah saya, malah, saya turut dimaklumkan terdapat arahan jika terdapat posting calon yang ada gambar saya maka ia mesti dikeluarkan.
“Terus terang, perkara itu amat mengecewakan. Bukan kerana jawatan atau kedudukan tetapi kerana saya hadir dengan niat untuk membantu parti yang masih saya anggap sebagai perjuangan saya,” luahnya.

Walaupun berdepan pengalaman tersebut, Omar Hafidz menegaskan beliau tidak menyalahkan keseluruhan UMNO kerana percaya masih ramai pemimpin dan ahli yang ikhlas serta mengutamakan perpaduan.
Dalam masa sama, beliau berharap semua pihak tidak tergesa-gesa menghukum atau melabel seseorang tanpa mengetahui keadaan sebenar kerana akhirnya parti sendiri yang akan menanggung kesannya.
“Saya tetap tidak akan membalas dengan kebencian. Saya memilih untuk terus berpegang kepada prinsip bahawa perjuangan tidak diukur pada jawatan, tetapi pada keikhlasan untuk berkhidmat.
“Saya masih ahli UMNO. Saya masih sayangkan UMNO dan tetap berharap UMNO menjadi sebuah parti yang lebih terbuka, matang dan mampu merangkul lebih ramai anak muda, bukan menjauhkan mereka kerana akhirnya, pendakwah bukan penghukum.
“Begitu juga seorang pejuang politik tugasnya merangkul bukan sekadar menghukum, tetapi terus terang, saya jadi takut untuk turun lagi membantu kempen kerana bimbang dihukum bahawa saya jadi punca calon kalah,” ujarnya.
Terdahulu, Omar Hafidz menyatakan komitmennya untuk membantu memastikan kemenangan calon BN di beberapa kerusi DUN di daerah Batu Pahat.
Perkara itu turut dikongsikan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Abdul Mutalif Abdul Rahim yang memaklumkan anak kepada Mohd Puad itu tampil menyatakan sokongan terbuka kepada BN sepanjang kempen PRN Johor.
Sumber: FB Omar Puad





