PRN Johor tidak jejaskan pasaran hartanah, jualan dijangka pulih selepas 11 Julai - Juwai IQI

29 Jun 2026 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

PRN Johor tidak jejaskan pasaran hartanah, jualan dijangka pulih selepas 11 Julai - Juwai IQI Image from: PRN Johor tidak jejaskan pasaran hartanah, jualan dijangka pulih selepas 11 Julai - Juwai IQI hamden29/06/2026 - 15:00 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Jun - Pilihan raya negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini dijangka hanya memberi kesan sementara kepada aktiviti jual beli hartanah, sebelum kembali pulih dengan prestasi keseluruhan pasaran bagi tahun 2026 kekal stabil.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, aktiviti transaksi kediaman mungkin menjadi perlahan dalam tempoh beberapa minggu menjelang hari pengundian berikutan pendekatan tunggu dan lihat dalam kalangan pembeli.

 

Bagaimanapun katanya, kelembapan tersebut hanya bersifat sementara apabila pembeli yang menangguhkan keputusan pembelian dijangka kembali aktif sebaik sahaja proses pilihan raya selesai.

 

"Kami menjangkakan jumlah transaksi yang tertangguh akan kembali direalisasikan selepas pilihan raya, sekali gus memastikan prestasi pasaran hartanah Johor bagi keseluruhan tahun tidak terjejas," katanya dalam satu analisis hari ini.

 

Menurut beliau, unjuran tersebut dibuat berdasarkan analisis data transaksi hartanah, corak pasaran ketika pilihan raya terdahulu serta trend pertanyaan dan permintaan yang diterima rangkaian ejen Juwai IQI.

 

Beliau berkata, pengalaman pada 2022 menunjukkan pasaran hartanah Johor terus berkembang walaupun negeri itu mengadakan pilihan raya negeri pada Mac dan Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun yang sama.

 

Dalam tempoh tersebut, jumlah transaksi kediaman di Johor meningkat lebih 25%, manakala nilai transaksi berkembang hampir 30%, didorong antaranya oleh pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

 

Pengaruh Pembangunan Infrastruktur Strategik

Mengulas prospek jangka sederhana, Kashif berkata, pembangunan infrastruktur strategik seperti Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menjadi pemacu utama pertumbuhan pasaran hartanah negeri itu berbanding faktor politik.

 

Beliau berkata, kedua-dua projek berimpak tinggi itu dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan serta pendapatan isi rumah, sekali gus menyokong permintaan terhadap hartanah kediaman.

 

"Johor masih merupakan antara pasaran kediaman paling kukuh di Malaysia berdasarkan faktor asas, dan masih mempunyai potensi pertumbuhan yang besar.

 

"Pertumbuhan itu akan disokong oleh permintaan rentas sempadan, pembangunan infrastruktur baharu seperti laluan RTS, serta bekalan berterusan rumah mampu milik dan rumah dalam kategori harga pertengahan," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved