Usah rosakkan lagi yang sudah rosak

LocalPolitics
29 Jun 2026 • 10:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Usah rosakkan lagi yang sudah rosak
Pengundian PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini manakala pengundian awal 7 Julai. Foto: Bernama

GENDERANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akhirnya bergema. Seperti lazimnya, tempoh berkempen akan dipenuhi pelbagai janji, manifesto dan usaha memikat hati rakyat. Namun, di sebalik kehangatan itu, satu perkara yang tidak harus diketepikan ialah adab dalam berpolitik.

Pilihan raya bukan gelanggang untuk saling menghina, memfitnah atau menyemai kebencian. Perbezaan fahaman politik adalah lumrah dalam sistem demokrasi, tetapi ia tidak sepatutnya meruntuhkan hubungan sesama rakyat.

Berkempenlah dengan menawarkan idea, dasar dan penyelesaian, bukannya menyerang peribadi lawan. Rakyat hari ini semakin bijak menilai. Mereka tidak lagi mudah dipengaruhi dengan kata-kata berbaur emosi atau serangan yang hanya mencetuskan perpecahan.

Lebih membimbangkan apabila parti-parti yang memperjuangkan orang Melayu terus dilihat berpecah kepada pelbagai kelompok. Perpecahan yang berlaku sejak sekian lama sudah cukup memberi kesan kepada landskap politik negara. Janganlah pula sepanjang kempen ini, luka lama terus disiat sehingga menjadi semakin parah.

Apa yang sudah rosak tidak perlu lagi ditambah kerosakannya. Sebaliknya, semua pihak perlu menunjukkan kematangan politik dengan menghormati perbezaan dan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan agar setiap calon mendekati rakyat bukan sekadar untuk meraih undi, sebaliknya menggalas amanah dengan penuh keikhlasan.

Beliau menyeru semua pihak bekerja keras, menyantuni setiap lapisan masyarakat dan membuktikan politik beradab sentiasa mengatasi politik kebencian. Pesanan itu bukan sahaja ditujukan kepada calon, malah kepada penyokong.

Akhirnya, rakyat Johor bukan sekadar mahu mendengar retorik, tetapi ingin melihat kematangan pemimpin yang mampu menyatukan masyarakat serta membawa penyelesaian terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pembangunan.

PRN Johor kali ini biarlah dikenang sebagai pilihan raya yang matang, berhemah dan berintegriti. Menang atau kalah adalah lumrah pertandingan, tetapi persaudaraan, keharmonian dan masa depan Johor jauh lebih besar nilainya daripada sebarang kemenangan politik.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved