
MELAKA - Ketua Menteri sementara Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh antara pemimpin politik yang menunaikan tanggungjawab mengundi sebaik proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bermula hari ini.
Ab Rauf yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara mewakili Barisan Nasional (BN), tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi isterinya, Datin Seri Zuriyah Ab Aziz.
Beliau yang mengenakan baju batik terlebih dahulu menyantuni pengundi serta meluangkan masa bergambar sebelum membuang undi.
Pada PRN kali ini, Ab Rauf berdepan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yunazri Mustamiri bagi mempertahankan kerusi berkenaan yang memiliki 15,003 pemilih berdaftar.
Sementara itu, Dr Akmal tiba di SK Merlimau kira-kira jam 8.35 pagi bersama keluarganya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Beliau yang mempertahankan kerusi DUN Merlimau mewakili BN bakal berdepan saingan satu lawan satu dengan calon PH, Rahayu Hamzah.
Dr Akmal sebelum ini berjaya mengekalkan kerusi berkenaan pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti 3,248 undi.
Turut menunaikan tanggungjawab mengundi ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim yang membuang undi di SK Dato’ Demang Hussin, Bukit Katil.
Beliau dilihat menunjukkan jari yang telah ditandakan dengan dakwat kekal selepas selesai mengundi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar turut melakukan tinjauan di SK Bendahara Seri Maharaja, Jalan Kandang bagi memantau keadaan di pusat mengundi berkenaan.
Proses pengundian bermula pada jam 8 pagi di kesemua 28 kawasan DUN di negeri itu dan dijadualkan berakhir pada jam 6 petang.
Seramai 687,697 pemilih berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN kali ini, dengan 79 calon bersaing bagi merebut 28 kerusi dipertandingkan.
Jumlah itu merangkumi 12,531 anggota tentera serta pasangan masing-masing, manakala anggota polis dan pasangan mereka telah menunaikan tanggungjawab mengundi menerusi pengundian awal pada Selasa. - Getaran, 14 November 2026




![[TIDAK RASMI] BN-PN umum ‘menang’ 20 kerusi DUN](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/PRN-BN-PRN-MELAKA-1024x682.jpeg?v=1794662966)
