
PETALING JAYA – Faktor calon, keupayaan mengurus undi dan kadar keluar mengundi dijangka menjadi antara penentu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Penganalisis Politik, Prof. Datuk Dr. P. Sivamurugan berkata, persaingan dijangka sengit meskipun terdapat perbezaan dari segi kekuatan jentera parti.
“Faktor penyandang, kekuatan jentera dan pengalaman mentadbir negeri menjadi antara kelebihan dimiliki Barisan Nasional (BN), manakala Pakatan Harapan (PH) perlu mempertahankan sokongan, khususnya di kawasan bandar dan dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
“Perikatan Nasional (PN) pula berdepan cabaran menyatukan kekuatan parti-parti komponennya, sementara persaingan antara gabungan politik berpotensi mempengaruhi pembahagian undi.
“Faktor calon juga tidak boleh diketepikan kerana populariti, rekod perkhidmatan dan hubungan dengan masyarakat setempat boleh mempengaruhi pilihan pengundi, khususnya di kerusi marginal,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ujar beliau, dalam PRN, pengundi bukan sekadar memilih parti, sebaliknya turut menilai individu yang dipercayai mampu menyelesaikan masalah di kawasan masing-masing.
Mengulas mengenai isu utama yang dijangka menjadi tumpuan sepanjang kempen PRN Melaka, beliau menjangkakan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, perumahan dan mutu penyampaian kerajaan negeri akan menjadi antara perkara utama dibangkitkan.
“Isu nasional seperti kestabilan politik, integriti, rasuah politik dan prestasi Kerajaan Madani juga akan dimainkan dan boleh mempengaruhi pengundi.
“Namun akhirnya, pengundi mahu lihat hasil bukan sekadar janji politik meskipun terdapat beberapa Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang ditandatangani sebelum ini,” jelasnya.
Katanya, perpecahan undi Melayu antara BN, Pas dan Bersatu, kegagalan memindahkan undi antara rakan politik serta kadar keluar mengundi juga merupakan antara faktor yang boleh mencetuskan kejutan.
“Selain itu, parti yang bertanding di 16 kerusi juga boleh menjadi faktor pengganggu, manakala pertandingan berbilang penjuru berpotensi mengubah keputusan di kerusi tertentu.
“BN dan PN dianggap sebagai suntikan baharu, meskipun terdapat kerjasama longgar antara PH dan Bersatu kali ini. BN bermula dengan kelebihan sebagai kerajaan penyandang tetapi PRN ini bukan referendum terhadap BN semata-mata,” tambahnya.
The post PRN Melaka: BN ada kelebihan, bandar tumpuan PH appeared first on Kosmo Online.





