PRN Melaka: BN Mendahului, Ab Rauf Diramal Kekal Di Tanjung Bidara

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 8:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Melaka: BN Mendahului, Ab Rauf Diramal Kekal Di Tanjung Bidara

MELAKA - Barisan Nasional (BN) menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila mendahului persaingan di sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), meletakkan mereka pada landasan untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.

Keputusan tidak rasmi setakat malam ini menyaksikan BN mendahului di 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) mendahului di lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) di dua kerusi lagi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilihat berpeluang mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara yang disandangnya.

Beliau berdepan calon PH, Mohd Yunazri Mustamiri, dalam saingan kali ini selepas memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 364 undi pada PRN 2021.

Sementara itu, DAP dilihat masih mampu mengekalkan penguasaan di beberapa kawasan bandar apabila PH mendahului di Ayer Keroh, Kota Laksamana dan Bandar Hilir berdasarkan pengiraan awal undi.

Perkembangan itu sedikit sebanyak memberi petunjuk positif kepada PH, namun keupayaan gabungan berkenaan mengekalkan kerusi yang disandangnya hanya dapat dipastikan selepas keputusan rasmi bagi semua kawasan diumumkan.

Di Ayer Keroh, penyandang kerusi DUN daripada DAP, Kerk Chee Yee, dilaporkan mendahului dengan kelebihan 524 undi dalam pengiraan awal.

Bagi kerusi Sungai Udang pula, calon BN, Rais Yasin, mencatat kelebihan ketara apabila memperoleh 6,340 undi, berbanding 277 undi yang diraih calon Bersatu dan 97 undi calon Parti Bersama Malaysia berdasarkan angka setakat jam 6.47 petang.

Selain itu, BN turut mendahului di beberapa kawasan lain termasuk Lendu, Asahan, Sungai Udang, Rim dan Merlimau.

PRN kali ini membawa kepentingan tersendiri kepada kedua-dua gabungan memandangkan BN dan PH merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun bersaing secara langsung bagi merebut mandat rakyat di Melaka.

Kemenangan besar BN bakal mengukuhkan kedudukan UMNO di negeri itu, manakala pencapaian DAP di kawasan bandar yang menjadi kubu tradisinya pula akan menjadi ukuran sejauh mana parti berkenaan berjaya mempertahankan sokongan pengundi.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga. PH pula memenangi lima kerusi, manakala PN meraih dua kerusi selebihnya.

Seramai 79 calon bertanding di 28 kerusi DUN pada PRN kali ini, dengan mana-mana gabungan perlu memperoleh sekurang-kurangnya 15 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

Peratusan keluar mengundi pula direkodkan sebanyak 70.59 peratus apabila semua pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang, meningkat berbanding 65.85 peratus yang dicatatkan pada PRN terdahulu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mula mengumumkan keputusan rasmi seawal jam 9.30 malam, dengan keseluruhan keputusan dijangka diketahui sebelum tengah malam. - Getaran, 14 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved