
LUMUT – Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan bagi meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka biarpun terdapat isu membabitkan pembahagian kerusi yang dibangkitkan MCA.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pandangan pihak seperti MCA berkaitan pembahagian kerusi merupakan perkara yang biasa ketika pilihan raya namun kemenangan parti itu adalah lebih penting.
“Biasalah kalau dalam suasana waktu untuk pemilihan calon dan sebagainya, mana-mana pihak pun ada pandangan-pandangan mereka.
“Bagaimanapun, semangat dalam BN, keputusan yang telah kita buat bersama kerana yang paling mustahak perlu diberikan perhatian ialah kemenangan BN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.
Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mengulas isu itu pula berkata BN masih belum memuktamadkan calon MCA yang bertanding dalam PRN Melaka yang mencetuskan pertikaian semalam.
Sehubungan itu, mereka akan mengadakan perbincangan sebelum 31 Oktober bagi menyesaikan perkara terbabit.
Mengulas lanjut, Zambry berharap perbincangan yang akan dilakukan itu nanti dapat dilaksanakan dalam suasana harmoni tanpa pertelagahan.
“Walaupun ada masalah itu dan ini, kita tidak bertelagah secara terbuka dan itu adalah tradisi kita. Puas hati, tak puas hati, kita duduklah dan bincang balik.
“Tetapi apabila kita buat keputusan, itu adalah keputusan kita bersama,” katanya.
Beliau sebelum itu hadir merasmikan Majlis Pelancaran Lunak Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Excellence Pangkor di sini. – KOSMO! ONLINE
The post PRN Melaka: BN tumpu raih kemenangan biarpun ada isu pembahagian kerusi – Zambry appeared first on Kosmo Online.





