MCA dapat 2 kerusi, mana keikhlasan BN?

Politics
25 Oct 2026 • 7:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MCA dapat 2 kerusi, mana keikhlasan BN?

PETALING JAYA: Keputusan UMNO yang hanya memperuntukkan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada MCA bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kerjasama politik dalam Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden PKR, Datuk Chang Lih Kang berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada kerjasama politik yang dijalin UMNO dengan parti komponennya berlandaskan prinsip dan kepercayaan atau sekadar kepentingan politik serta kuasa.

Beliau berkata, jika MCA yang sekian lama menjadi rakan komponen BN sendiri merasakan mereka tidak dihormati, keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai layanan terhadap parti lain yang menjalin kerjasama dengan gabungan berkenaan.

“Adakah kerjasama tersebut berlandaskan prinsip dan kepercayaan, atau sekadar kepentingan politik dan kuasa?” katanya, hari ini.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.

Beliau juga mendakwa MCA tidak dimaklumkan lebih awal bahawa majlis BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam semalam akan membabitkan pengumuman calon, sebaliknya diberitahu ia hanya majlis pelancaran jentera pilihan raya.

MCA diperuntukkan dua kerusi untuk PRN Melaka iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan Machap Jaya daripada 21 kerusi yang ditandingi oleh BN.

Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean pula berkata, beliau tidak bersimpati dengan MCA berhubung situasi itu kerana parti berkenaan sepatutnya sudah mengetahui corak layanan UMNO terhadap rakan komponennya.

Sebaliknya, beliau berkata, PKR sebagai parti pengasas Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan pendekatan sebagai parti dominan yang membuli rakan gabungan lebih kecil.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sentiasa mengamalkan pendekatan konsultatif dan inklusif termasuk terhadap parti kecil seperti Parti Bersatu Sabah (UPKO) sebelum ini.

“Saya tak kesian atau simpati dengan MCA. Padan muka mereka. Takkan tak kenal dengan layanan buruk Umno pada mereka? Justeru, PH ini lebih kukuh dan stabil dalam mentadbir negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, tindakan MCA itu menunjukkan parti berkenaan menyedari mereka tidak dihormati oleh rakan gabungan sendiri, iaitu UMNO.

Beliau berkata, UMNO terlalu menumpukan kemungkinan memperoleh keuntungan politik jangka pendek melalui kerjasama dengan Pas sehingga mengabaikan kepentingan MCA dan MIC.

“Perkara ini turut menimbulkan persoalan sama ada mana-mana kerajaan gabungan yang melibatkan UMNO dan Pas akan mengetepikan suara serta kepentingan golongan minoriti.

“Hakikatnya, MCA dan MIC secara keseluruhannya hanya mempunyai tiga kerusi di Dewan Rakyat dan tidak mempunyai sebarang jawatan menteri,” katanya.- UTUSAN

The post MCA dapat 2 kerusi, mana keikhlasan BN? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved