Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
14 November merupakan tarikh penting buat rakyat di Melaka untuk keluar mengundi dan menentukan siapakah wakil rakyat mereka.
Calon PH dakwa terima aduan dari pengundi nama dah diguna orang lain
Namun dalam kemeriahan orang ramai mengundi kecoh apabila Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Rahayu Hamzah mendakwa mendapat aduan dari seorang pengundi yang tidak dapat mengundi disebabkan namanya telah digunakan oleh individu lain.
Menurutnya susulan insiden itu, laporan polis juga telah dibuat berhubung kejadian yang didakwa berlaku di pusat pengundian SK Merlimau 2.
“Saya terima aduan pengundi di SK Merlimau 2 tidak dapat mengundi kerana ada orang lain telah gunakan namanya untuk mengundi.
“Laporan polis telah dibuat dan saya mohon pihak yang berwajib dapat menyiasat aduan ini dengan cepat,” jelasnya, lapor FMT.
Rahayu dan Dr Akmal Saleh minta mana-mana pengundi berdepan isu sama untuk tampil buat laporan polis
Justeru itu, calon PH berkenaan turut meminta mana-mana pengundi yang mempunyai atau berdepan isu sama untuk segera tampil membuat laporan polis agar tindakan lanjut boleh dilakukan.
Dalam masa sama, calon Barisan Nasional bagi DUN berkenaan, Dr Akmal Saleh juga menggesa pengundi yang berdepan masalah sama untuk membuat laporan polis.
Beliau turut memohon agar pihak berkuasa dapat menyiasat isu tersebut dengan segera.
Dalam pada itu, pengundi yang dikenali sebagai K Sanmuga turut memaklumkan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Merlimau.
Petugas SPR maklum nama sudah dipotong menandakan pengundi itu telah datang mengundi
Memetik Malaysia Gazette, Sanmuga memaklumkan semasa berada di pusat mengundi jam 11.45 pagi, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahunya bahawa nama beliau telah dipotong.
Senario itu bermaksud Sanmuga sudah datang untuk mengundi sebelum ini.
Pengundi dedah belum mengundi dan jari belum dicelup
“Saya telah pergi untuk mengundi semasa petugas SPR membuat semakan undi didapati nama saya di saluran (2) nombor bilangan (730) telah dipotong dan beliau beritahu bahawa saya telah mengundi.
“Saya telah memberitahu bahawa saya masih belum mengundi dan jari saya masih belum dicelup dakwat mengundi seterusnya saya datang ke balai buat laporan.
“Tujuan laporan adalah untuk rujukan pihak SPR.”
![Image from: PRN Melaka: Calon PH Dun Merlimau Dakwa Nama Pengundi Digunakan Orang Lain [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/nama-disalah-guna-pengundi-lain-1.jpg)





