MELAKA - Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini sekiranya strategi yang dirancang dilaksanakan dengan baik, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, selain mempunyai strategi yang baik, BN perlu memastikan jentera parti melaksanakan perancangan dengan tersusun, khususnya dalam menggerakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Insya-ALLAH, kalau buat elok-elok, boleh menang. Ini semuanya bergantung kepada bagaimana kita menyusun strategi. Jentera yang sudah menyusun strategi mesti melaksanakannya.
“Strategi yang baik tetapi tidak dilaksanakan juga boleh menggagalkan rancangan kita. Saya rasa strategi kita baik untuk menghadapi pilihan raya ini,” katanya ditemui pada Majlis Persidangan Agung Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) Kebangsaan Kali Ke - 10 di sini pada Ahad.
Turut hadir, Presiden PerSoNa Kebangsaan, Norshahida Salleh.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata, jentera parti perlu memastikan pengundi yang dikenal pasti menyokong BN keluar mengundi.
Katanya, perancangan yang kelihatan baik di atas kertas juga tidak menjamin kemenangan sekiranya jentera gagal membawa keluar pengundi.
“Kadang-kadang macam-macam juga kerajaan membuat bajet, PM buat bajet banyak bantuan tapi tak sampai.
“Serupa juga pilihan raya kita buat strategi cantik-cantik di atas kertas, sangat baik dan ramai orang dikategorikan sebagai pengundi putih BN.
“Tetapi kalau kita tidak bawa mereka keluar mengundi, ia tidak bermakna kerana undi itu tidak masuk ke dalam peti undi,” katanya.
Sementara itu ditanya sama ada isu di Negeri Sembilan boleh menjejaskan PRN Melaka, beliau berkata, kedua-dua perkara itu tidak mempunyai kaitan secara langsung.
“Itu saya jawab di Negeri Sembilan. Saya tak yakin ia ada kena-mengena dengan Melaka,” katanya.






