Polis keluarkan 29 permit ceramah PRN Melaka

LocalPolitics
2 Nov 2026 • 1:59 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis keluarkan 29 permit ceramah PRN Melaka

MELAKA: Polis telah mengeluarkan 29 permit ceramah setakat ini bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula Sabtu lepas, dengan tiada sebarang laporan berkaitan kacau ganggu diterima.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata daripada jumlah itu, Melaka Tengah merekodkan permit tertinggi iaitu 11, diikuti Alor Gajah (10) dan Jasin (lapan).

Bagaimanapun, katanya polis menerima satu laporan berkaitan perbuatan khianat terhadap bahan kempen.

“Untuk itu saya ingin mengingatkan semua calon, parti politik dan penyokong supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengelakkan sebarang tindakan provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen,” katanya kepada Bernama.

Dzulkhairi juga mengingatkan calon dan parti politik supaya tidak menyentuh isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) ketika berkempen bagi mengelakkan ketegangan serta memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus terpelihara.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan aspek keselamatan dalam pemasangan bahan kempen, khususnya di kawasan berisiko seperti persimpangan lampu isyarat dan laluan utama yang boleh mengganggu pandangan pengguna jalan raya.

Dzulkhairi berkata pemasangan bendera, poster, kain rentang dan bahan kempen lain perlu mematuhi peraturan pihak berkuasa berkaitan serta tidak menjejaskan kelancaran lalu lintas.

“Mereka juga tidak boleh menggunakan mana-mana masjid, gereja, kuil, tokong atau tempat beribadat untuk berkempen pilihan raya, begitu juga menggunakan premis, kenderaan atau alat komunikasi milik kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tujuan berkenaan.

“Bangunan awam juga tidak dibenarkan digunakan sebagai tempat perhimpunan politik dan kempen tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi bangunan atau premis tersebut,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya menjalankan aktiviti kempen secara matang, berhemah dan bertanggungjawab demi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman serta terkawal. – BERNAMA

The post Polis keluarkan 29 permit ceramah PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved