
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) memberi bayangan hala tuju kerjasamanya dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mungkin dapat dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama antara kedua-dua gabungan politik itu masih berada pada peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, beberapa sesi perbincangan dijangka berlangsung dalam minggu depan bagi meneliti perkembangan terkini sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Masih lagi di tahap eksplorasi awal yang kita belum putuskan. Saya perlu juga melapor di peringkat kepimpinan PH untuk mengutamakan kalau ada persepakatan.
“Saya rasa sebelum Hari Malaysia mungkin sudah ada bayangan untuk maju ke depan ataupun langkah ke depan dalam berdepan dengan Pilihan Raya Melaka nanti,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar Festival Turath Islami Malaysia 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas status terkini perbincangan kerjasama PH-BN untul berdepan PRN Melaka.
Amirudin berkata, rundingan yang sedang berlangsung turut mengambil kira pengalaman PH dan BN yang pernah bekerjasama dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
Katanya, kedua-dua pihak mempunyai pengalaman berbeza apabila pernah bekerjasama sebagai sebuah koalisi dalam pilihan raya negeri selain turut bertembung di beberapa negeri lain.
“Perbincangan berlaku dan insya-Allah kita akan cuba mencari solusi terbaik untuk semua. Kita pernah bekerjasama dengan BN sebagai satu koalisi dalam pilihan raya negeri. Kita pernah bertembung di Johor, bertembung di Negeri Sembilan dan bekerjasama rapat di Sabah.
“Semua pengalaman itu kita kumpulkan untuk memberikan manfaat kepada semua,” katanya.
Mengulas sama ada PH mempunyai ‘hasrat’ terhadap kerjasama itu, Amiruddin berkata, beliau menghormati proses rundingan yang sedang berlangsung dan akan melaksanakan tanggungjawab yang diarahkan parti.
“Hasrat peribadi mungkin berbeza dengan arahan, tetapi yang penting ada permintaan itu dan kita sedang berbincang, melihat garis-garis tertentu serta pendirian masing-masing yang harus dihormati,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebarang keputusan berhubung kerjasama pilihan raya antara PH dan BN akan dibincangkan di peringkat kepimpinan kedua-dua gabungan sebelum dimuktamadkan. – UTUSAN
The post PRN Melaka: Kerjasama PH-BN mungkin diputuskan sebelum Hari Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






