Takiyuddin gesa Ahli PN beri sokongan kepada calon BN di PRN Melaka

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 3:25 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ahli Perikatan Nasional (PN) diseru memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, manakala ahli BN turut dirayu menyokong calon PN.

Image from: Takiyuddin gesa Ahli PN beri sokongan kepada calon BN di PRN Melaka

Memetik laporan Harian Metro Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama itu digerakkan oleh kepemimpinan pusat PAS dan telah mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama parti berkenaan.

Menurutnya, ahli diyakini dapat menerima pendekatan tersebut berdasarkan kepercayaan serta kesetiaan mereka kepada kepemimpinan parti.

“Ahli kita sentiasa patuh dan taat setia kepada kepemimpinan. Mereka bersama kita dan yakin dengan kerjasama ini kerana ia dicetuskan oleh kepemimpinan PAS di peringkat pusat serta diluluskan oleh Majlis Syura Ulama,” katanya ketika dihubungi.

Takiyuddin turut menegaskan bahawa calon PN tidak akan bertembung dengan calon UMNO atau BN dalam pilihan raya berkenaan.

Mengenai persiapan pilihan raya, beliau berkata, jentera PN dari beberapa negeri sudah mula menjalankan gerak kerja di lapangan, termasuk pasukan dari Kelantan.

Pergerakan itu dilaksanakan walaupun kawasan yang bakal ditandingi masih belum diketahui.

“Kita sudah bersedia. Jentera kita dari pelbagai negeri, termasuk Kelantan, sudah turun ke lapangan walaupun kita masih belum mengetahui kawasan yang akan ditandingi.
“Bagaimanapun, itu bukan masalah. Kita bersedia bertanding di mana-mana sahaja kerana gabungan kita akan bertanding di semua kerusi yang diperuntukkan kepada kita,” jelasnya.

Dalam soal pemilihan calon, Takiyuddin berkata, nama yang dicadangkan akan menjalani proses tapisan seperti kebiasaan oleh kepemimpinan Majlis Syura Ulama.

Menurutnya, proses itu bertujuan memastikan calon yang dipilih sesuai untuk membawa cabaran PN pada PRN Melaka.

Pengundian PRN Melaka dijadualkan pada 14 November, manakala penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Sumber: Harian Metro (Shariafh Mahsinah Abdullah)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved