![PRN Melaka: PH Buat Laporan Polis, Dakwa Calon BN DUN Rim Salah Guna Aset Kerajaan Semasa Berkempen [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/11/PRN-Melaka_-PH-Buat-Laporan-Polis-Terhadap-Dira-Selepas-Didakwa-Salah-Guna-Hak-Kerajaan-Untuk-Berkempen-Video.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, Datuk Khaidirah Abu Zahar selepas didakwa menjalankan kempen menggunakan premis dan jentera hak milik kerajaan.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Siti Aishah Shaik Ismail, laporan polis terhadap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim itu dilakukan oleh wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka semalam (2 November).
Aishah Dakwa Ada Bukti Bergambar Khaidirah Jalankan Kempen Guna Premis Kerajaan
Jelas Aishah, Khaidirah atau lebih dikenali dengan gelaran Dira Abu Zahar didakwa berbuat demikian ketika menghadiri program penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima sempena Deepavali, dan bukti bergambar berserta rakaman berkaitan telah pun diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Kita serahkan bukti (Khaidirah) menyalahgunakan Kompleks Japerun Rim, Jasin untuk adakan majlis itu, yang sepatutnya tidak lagi boleh digunakan untuk program berunsur politik sebaik sahaja DUN dibubarkan, biarpun sebelum ini bangunan berkenaan pejabat beliau sewaktu menjadi wakil rakyat di sini.
“Kita juga dapati bakul makanan yang beliau berikan ada tertera tulisan MPJ (Majlis Perbandaran Jasin), maknanya itu aset (sumbangan) kerajaan,” katanya, dipetik Harian Metro.
Aishah Dakwa Petugas MPJ Pakai Pakaian Papar Wajah Naib Ketua UMNO Jasin
Sementera itu, Aishah turut mendakwa pihaknya mempunyai bukti jelas menunjukkan beberapa pegawai MPJ memakai pakaian memaparkan wajah Naib Ketua UMNO Jasin itu sepanjang program tersebut berjalan.
Jelasnya, semua bukti akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari ini (3 November). Dalam pada itu, beliau turut menggesa SPR menjalankan siasatan dengan kadar segera secara telus dan bebas.
Ini termasuklah memberikan penjelasan berhubung perkara itu kepada rakyat.
Khaidirah Dakwa SPR Tahu Tentang Pelaksanaan Program Di Kompleks Kerajaan
Sebelum ini, tular video di laman Facebook menunjukkan kekecohan perbalahan di antara parti PH dan BN dipercayai di luar Kompleks Japerun Rim.
Menerusi video tersebut, Khaidirah mendakwa program itu adalah anjuran MPJ selain mendakwa bahawa MPJ sudah dimaklumkan bahawa bangunan tersebut digunakan oleh SPR.
Khaidirah turut meluahkan rasa kecewa apabila didakwa dilayan seolah-olah beliau tidak memahami undang-undang. Dakwanya lagi, SPR tahu tentang pelaksanaan program pemberian sumbangan di kompleks berkenaan.
Seorang petugas PH berkata, “Kalau boleh jangan buat (berkempen) dekat sini je la.”
Namun Dira yang juga penyandang DUN Rim membalas, “Saya dah cakap ini bangunan kerajaan. Saya faham, saya tahu. SPR tanya dengan saya, ‘Nak pakai bilik ni?’ Saya dah cakap dengan SPR tolong pakai dewan (lain).”
Baca Artikel Berkaitan: PRN Melaka: Calon BERSAMA Dakwa Bendera Parti Dibakar, Gesa Ambil Tindakan Terhadap Individu Lakukan Khianat [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Melaka Memilih! Semak Senarai Penuh Calon Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-16
Baca Artikel Berkaitan: PRN Melaka: Calon UMNO-BN Perlu Aktif Media Sosial, Kata Ahmad Maslan





