PRN Melaka: PH Perlu Tonjol Pencapaian Kerajaan, Bukan Serang Secara Peribadi - Loke

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 8:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

PRN Melaka: PH Perlu Tonjol Pencapaian Kerajaan, Bukan Serang Secara Peribadi - Loke

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) perlu memberi tumpuan kepada rekod pencapaian kerajaan Persekutuan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berbanding menjadikan serangan peribadi terhadap lawan politik sebagai modal kempen.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh di peringkat antarabangsa antara perkara perlu diketengahkan kepada pengundi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon PH Melaka dan pelancaran jentera pilihan raya di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Menurut Loke, meskipun PH berdepan keputusan pilihan raya yang kurang memberangsangkan di beberapa negeri, keadaan itu tidak seharusnya mematahkan semangat gabungan berkenaan untuk menghadapi PRN Melaka.

“Dalam politik, ada masa kita menang dan ada masa kita kalah. Kita tidak akan sentiasa mendapat keputusan yang diharapkan. Namun, perkara paling penting ialah semangat untuk terus berjuang tidak boleh luntur,” katanya.

Timbalan Pengerusi PH itu turut menegaskan, gabungan berkenaan perlu menjadikan kekalahan di Negeri Sembilan sebagai dorongan untuk kembali meraih sokongan di Melaka.

Beliau berkata kekuatan PH terletak pada kesepaduan antara parti komponennya, termasuk ketika berhadapan dengan cabaran politik.

Loke turut menyenaraikan beberapa dasar kerajaan yang menurutnya wajar dijelaskan kepada pengundi, termasuk kesinambungan subsidi bahan api dan langkah menyusun semula pemberian subsidi supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan lebih memerlukan.

Katanya, pendekatan itu juga membolehkan kerajaan menggunakan sumber kewangan yang ada dengan lebih berkesan bagi membiayai pelbagai program untuk rakyat.

Antara bantuan yang disebut beliau ialah Sumbangan Asas Rahmah (SARA), insentif pendidikan serta langkah percukaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Loke menambah, keperluan golongan berpendapatan sederhana dan pelajar yang memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan pengajian juga perlu diberi perhatian, selain kebajikan isi rumah berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan membanteras rasuah dan membendung ketirisan bagi memastikan hasil negara diurus dengan baik serta dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

Memberikan contoh, Menteri Pengangkutan itu merujuk kutipan RM91 juta daripada penjualan nombor pendaftaran kenderaan siri H yang disalurkan kembali kepada pemandu teksi yang layak menerusi bantuan RM1,000 bagi setiap penerima.

“Bagi pemandu teksi di Melaka, saya akan berada di sana pada pagi Isnin (esok) untuk menyerahkan RM1,000 secara langsung kepada setiap pemandu teksi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan setiap aset dan hasil negara diurus secara bertanggungjawab, dengan wang awam digunakan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Loke berkata tanggungjawab mengurus negara bukan sekadar melibatkan pentadbiran, malah merangkumi usaha memastikan kekayaan dan sumber negara memberikan manfaat kepada masyarakat.

Beliau turut mengajak pengundi Melaka supaya terus menyokong PH, sambil menegaskan komitmen gabungan itu untuk meneruskan dasar yang dapat memperbaiki kehidupan rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya sebelum pengumuman calon berkenaan, turut menyentuh ucapan Loke, Ketua Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu. - Getaran, 25 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved