PRN Melaka: Berbaki enam hari sebelum penamaan calon, banyak benda boleh berlaku - Adam Adli

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 3:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Berbaki enam hari sebelum penamaan calon, banyak benda boleh berlaku - Adam Adli
Adam Adli tidak menolak kemungkinan berlaku sebarang perubahan menjelang penamaan calon PRN Melaka pada 31 Oktober.

MELAKA - Pakatan Harapan (PH) tidak menolak kemungkinan berlaku kerjasama strategik dengan parti lain bagi mengisi baki tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang belum diumumkan calon menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim berkata, keputusan PH bertanding di 21 kerusi dibuat berdasarkan kekuatan parti, kesiapsiagaan jentera serta peluang untuk memenangi kawasan yang ditandingi.

Menurutnya, PH juga perlu mengambil kira kemampuan sumber yang dimiliki bagi memastikan jentera parti dapat memberi tumpuan kepada kawasan sasaran.

“Kita bertanding 21 kerusi itu berdasarkan kekuatan kita, secara strategiknya di kawasan yang kita rasakan peluang lebih baik, gerak kerja lebih lengkap dan jentera lebih bersedia.

“Kita datang bukan dengan sumber yang terlalu banyak. Kita mahu jentera, terutama di peringkat cawangan dan Parlimen, dapat memberikan tumpuan kepada kawasan yang menjadi sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Program Madani Kita (PMK) Tahun 2026 di Dewan Serbaguna PPR Sungai Putat di sini pada Ahad.

Mengulas kemungkinan baki tujuh kerusi itu diisi parti lain, Adam Adli berkata, pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan memandangkan masih terdapat tempoh beberapa hari sebelum penamaan calon pada 31 Oktober ini.

Katanya, perkembangan politik pada saat akhir masih boleh berlaku dan PH akan meneliti sebarang keputusan yang boleh dibuat dalam tempoh berkenaan.

Malah beliau juga yakin tiada kerusi yang akan dibiarkan kosong tanpa pertandingan pada PRN kali ini.

“Selebihnya, tujuh kerusi masih boleh diisi. Tentu sekali mungkin akan ada dinamik saat-saat akhir, Wallahualam.

“Kita akan tengoklah dalam tempoh beberapa hari ini apa keputusan-keputusan lain yang boleh kita buat.

“Kita masih ada baki enam hari sebelum penamaan calon. Banyak benda boleh berlaku lagi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved