Tujuh muka baharu calon PKR mampu buat kejutan PRN Melaka

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 2:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tujuh muka baharu calon PKR mampu buat kejutan PRN Melaka

MELAKA: PKR mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada sembilan calon yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd. Halim berkata, biarpun banyak muka baru ditampilkan kali ini namun mereka yang dipilih adalah calon boleh menang mampu menggugat Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, hanya dua calon parti itu pernah bertanding iaitu Ginie Lim Siew Lin di Machap Jaya sebanyak tiga kali antara 2008 hingga 2018 namun hanya menang sekali pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan majoriti besar 1,336 undi.

Beliau berkata, seorang lagi calon parti itu ialah Farzana Hayani Mohd. Nasir yang pernah bertanding di Sungai Rambai pada PRN 2021 namun tewas kepada calon BN, Siti Faizah Mohd Azis dan kini dipilih bertanding di Klebang.

Beliau berkata, tujuh muka baharu ialah Esma Eazreen Husin (Rim), Faiq (Serkam), Mohd. Khuzaire Mohd. Kamal Kannan (Rembia), Denesh a/l V. Palasubramaniam (Asahan), Datuk Azman Abidin (Paya Rumput), Mohd Yunazri Mustamiri (Tanjung Bidara) dan Muhamad Hakimi Mokhtar (Ayer Molek).

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, keputusan menampilkan barisan calon baharu hadir bersama cabaran besar apabila mereka perlu bekerja keras untuk meyakinkan pengundi terhadap kemampuan serta agenda yang dibawa PKR.

“Semua orang masuk bertanding untuk menang. Namun, kemenangan bukan hanya bergantung kepada nama atau kekuatan peribadi, tetapi juga hubungan dengan masyarakat, kerja yang dilaksanakan dan agenda yang dibawa.

“Saya berharap calon dapat memastikan perkara yang ingin disampaikan kepada masyarakat dilakukan secara berkesan, terutama sepanjang tempoh berkempen, selain menampilkan akhlak dan peribadi terbaik sebagai wakil parti masing-masing.

“Paling mustahak, kepentingan masyarakat dan rakyat sebagai pengundi perlu menjadi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Ayer Keroh @ Hang Tuah Jaya di Dewan Serbaguna PPR Sungai Putat, Batu Berendam, di sini hari ini.

Adam Adli berkata, kemenangan tidak hanya bergantung pada populariti atau kekuatan peribadi seseorang calon, sebaliknya turut ditentukan hubungan dengan masyarakat setempat, keberkesanan gerak kerja jentera serta kemampuan menyampaikan tawaran parti kepada pengundi.

Ujarnya, PKR tidak mahu memberikan gambaran seolah-olah parti itu mampu mencapai kemenangan dengan mudah, sebaliknya mengakui masih banyak usaha perlu dilakukan untuk mendapatkan keyakinan rakyat Melaka.

Menurutnya, pengalaman dan pendekatan yang dibawa parti itu di peringkat Persekutuan perlu diterjemahkan dengan berkesan di negeri ini, khususnya dalam aspek tadbir urus yang baik, tanggungjawab wakil rakyat serta agenda perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, calon PKR perlu memahami tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan berupaya berkomunikasi dengan pengundi secara berkesan bagi memastikan mesej serta tawaran parti dapat diterima.

“Realitinya, PKR sendiri perlu berusaha dengan lebih keras untuk meyakinkan masyarakat bahawa apa yang telah kita laksanakan, terutama di peringkat Persekutuan, boleh dibawa dengan semangat dan prinsip yang sama ke Melaka,” ujarnya.  – UTUSAN

The post Tujuh muka baharu calon PKR mampu buat kejutan PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved