
MELAKA: Polis menerima dua laporan berhubung kandungan media sosial yang menyentuh parti DAP menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, meskipun proses penamaan calon belum berlangsung.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kedua-dua laporan itu dibuat pada 14 Oktober lalu dan kini dalam siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, salah satu laporan berkenaan melibatkan kandungan di platform TikTok yang mendakwa DAP mahu menutup periuk nasi peniaga Melayu di kawasan bandar, susulan dakwaan parti itu mencadangkan supaya zon bebas kenderaan dibuka semula.
Beliau berkata, satu lagi laporan berkaitan isu sekolah Rohingya, manakala kedua-dua kes berkenaan masih dalam tindakan lanjut pihak polis.
“Setakat ini, kita menerima dua laporan polis berkaitan PRN Melaka, kedua-duanya pada 14 Oktober lalu dan melibatkan parti DAP.
“Kita akan menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat dalam kandungan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Taklimat Sempena PRN Melaka ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Taklimat berkenaan turut melibatkan wakil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (MCMC0 dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memberi penerangan kepada wakil parti politik mengenai perkara yang dibenarkan dan dilarang sebelum serta sepanjang PRN berlangsung.
Kira-kira 140 wakil parti politik dari seluruh Melaka menghadiri taklimat berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkhairi berkata, seramai 3,400 anggota dan pegawai polis akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran proses pilihan raya itu.
Katanya, polis turut memohon bantuan 1,500 anggota dari luar Melaka, termasuk penugasan yang akan diselaraskan oleh Bukit Aman.
“Penugasan ini merangkumi anggota bagi tugas am dan tugas khas. Kita juga akan menggunakan kemudahan serta peralatan tertentu bagi membantu memastikan kelancaran sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut memberi perhatian kepada penggunaan dron oleh parti politik dan calon sepanjang tempoh berkempen.
Menegaskan perkara tersebut menurutnya, penggunaan dron tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa atau agensi berkaitan.
“Pihak polis sendiri tidak boleh menggunakan dron sesuka hati dan perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkenaan.
“Kita akan memanggil wakil calon di setiap daerah bagi memberi penjelasan serta memudahkan urusan permohonan yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua parti politik, calon dan penyokong supaya tidak memainkan isu sensitif membabitkan kaum, agama dan institusi diraja (3R), menyebarkan fitnah atau melakukan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, keutamaan polis adalah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya, manakala isu berkaitan kandungan komunikasi pula akan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa agensi berkenaan.
Dzulkhairi berkata, polis akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan PRN Melaka ke-16 berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal. – UTUSAN
The post PRN Melaka: Polis terima dua laporan, siasat kandungan tiktok appeared first on Utusan Malaysia.






