
KUALA LUMPUR: Parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli, yang dijangka membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk menyertai PRN Melaka dengan 16 calon, hanya membazirkan wang ahli-ahli parti itu.
Wakil Sekretariat Bangkit Nasional (BANGKIT), Khairul Azam Abdul Hamid berkata,
penolakan rakyat terhadap parti tersebut sudah mula dirasakan menerusi jumlah penonton yang datang untuk mendengar ceramah-ceramah kesemua calon parti tersebut yang hanya berkisar sekitar puluhan orang sahaja.
“Ya, saya rasa ia adalah cerminan awal yang boleh disaksikan sama ada parti tersebut mendapat sambutan daripada pengundi atau sebaliknya.
“Penonton hanya datang sekejap sahaja malah ada juga penonton yang bosan menunggu pimpinan utama berucap mengambil keputusan untuk meninggalkan ceramah lebih awal,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Bersama melaporkan bahawa parti itu membelanjakan RM796,197 pada PRN Johor yang mana jumlah calon yang bertanding lebih kurang sama banyak dengan calon di Melaka dengan kesemuanya hilang deposit.
Sebuah portal berita turut melaporkan ceramah trak Kancil Bersama di Dataran Keris, Alor Gajah berlangsung dalam suasana hambar apabila kurang 50 peserta hadir mengikuti program kempen yang bermula pukul 8 malam itu.
Lebih mencuri perhatian, pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli hanya tiba kira-kira pukul 11.10 malam, iaitu lebih tiga jam selepas ceramah berkenaan dijadualkan bermula.
Mengulas lanjut, Khairul Azam berkata, pihaknya juga mendapati jumlah yang jauh lebih besar bagi ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh BN, PN dan PH sekali gus menggambarkan tahap sokongan yang berpotensi untuk dianggap sebagai undian.
“Manakala parti Kancil ini semakin dibebani dengan masalah-masalah asas antaranya Rafizi sebagai menteri yang gagal, kes khalwat Nik Nazmi dan penampilan calon-calon baru yang tiada pengalaman dan jaringan dalam politik,” jelas beliau. – UTUSAN
The post PRN Melaka: Rafizi bazirkan yuran ahli Bersama, belanja kempen jutaan ringgit bakal hangus – NGO appeared first on Utusan Malaysia.






