PRN Melaka: Ramai calon BN-PN menang majoriti besar

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 11:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PRN Melaka: Ramai calon BN-PN menang majoriti besar

MELAKA – Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja berjaya menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Malah, beberapa calon gabungan itu turut mencatat kemenangan dengan majoriti besar.

Antara yang paling ketara ialah kerusi DUN Serkam apabila calon BN, Datuk Azman Abdullah menang dengan majoriti 12,689 undi.

Beliau memperoleh 14,632 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faiq Azman yang mendapat 1,943 undi, manakala calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Bersama, Muhamad Saffie Md Yasan memperoleh 425 undi.

Kemenangan itu menjadikan Serkam antara kerusi yang mencatat jurang undi paling besar antara calon BN dengan pencabarnya.

Di DUN Merlimau pula, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 8,724 undi.

Beliau memperoleh 11,703 undi berbanding calon PH, Rahayu Hamzah yang meraih 2,979 undi.

Sementara itu, calon BN bagi DUN Sungai Rambai, Jezlee Pit turut mencatat kemenangan dengan majoriti 7,498 undi.

Jezlee memperoleh 9,610 undi, mengatasi calon PH, Aminuddin Abdul Jalil yang mendapat 2,112 undi, manakala calon Bebas, Norrizan Jantan memperoleh 486 undi.

DUN Rim turut menyaksikan kemenangan calon BN dengan majoriti 7,090 undi berdasarkan keputusan yang diperoleh.

Secara keseluruhan, empat kerusi berkenaan merekodkan majoriti kemenangan antara 7,090 hingga 12,689 undi, memperlihatkan jurang undi yang besar di beberapa kawasan yang dimenangi gabungan itu.

Kejayaan BN-PN menguasai 24 kerusi daripada keseluruhan 28 DUN turut membolehkan gabungan berkenaan memperoleh majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu. – KOSMO! ONLINE

The post PRN Melaka: Ramai calon BN-PN menang majoriti besar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved