
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memutuskan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mencapai kesepakatan untuk meneruskan kerjasama mereka.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana prinsip yang dipegangnya lebih penting daripada mempertahankan kedudukan sebagai wakil rakyat.
Malah, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu bersedia mengetepikan peluang untuk mempertahankan kerusi berkenaan sekiranya BN dan PH membentuk kerjasama di Melaka.
“Saya sudah tegaskan pendirian saya dalam podcast Keluar Sekejap (KS), iaitu sekiranya BN-PH bersama di Melaka, saya tidak akan bertanding.
“Saya lebih sanggup mempertahankan prinsip daripada mempertahankan kedudukan. Insya-Allah, kita akan menang di Melaka seperti mana di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terbaharu mengenai kemungkinan PH dan BN membuka ruang perbincangan bagi membentuk kerjasama untuk menghadapi PRN Melaka.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, perkara berkenaan berkemungkinan dibincangkan memandangkan PRN Melaka semakin hampir.
Dalam pada itu, Dr Akmal turut mempersoalkan pendirian PH yang sebelum ini didakwa pernah melabelkan UMNO sebagai parti yang tidak mempunyai prinsip serta sanggup ‘menikam rakan dari belakang’.
Namun, katanya, perkembangan terkini seolah-olah memperlihatkan PH pula sedang mencari UMNO bagi membentuk kerjasama menghadapi PRN Melaka. - Getaran, 19 Ogos 2026





