
PETALING JAYA: Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengulang pendiriannya untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu membuat kenyataan itu selepas Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan tidak menolak kemungkinan mengenai kerjasama dua gabungan politik itu.
“Kata UMNO bermuka-muka, tikam kawan tapi UMNO juga yang dicari. Saya ulang pendirian saya semasa dalam audio siar Keluar Sekejap iaitu jika BN-PH di Melaka, saya tidak akan bertanding.
“Sebab saya lebih rela pertahankan prinsip saya dari sebuah jawatan wakil rakyat. Insya-Allah Melaka kita birukan seperti Johor dan Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, PH terbuka mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, perkara itu akan diputuskan selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh pulang ke tanah air, esok. – UTUSAN
The post Akmal tidak mahu bertanding jika BN bekerjasama dengan PH appeared first on Utusan Malaysia.





