PRN Melaka: "Tapak Baharu" Bina Semula Kekuatan - Adam Adli

LocalPolitics
10 Aug 2026 • 12:11 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

PRN Melaka: "Tapak Baharu" Bina Semula Kekuatan - Adam Adli

PRN Melaka: "Tapak Baharu" Bina Semula Kekuatan - Adam Adli

Parti Keadilan Rakyat (PKR) melihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai “tapak baharu” untuk membina semula kekuatan parti menerusi pendekatan politik yang lebih matang, berteraskan idea dan dasar yang jelas kepada rakyat.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abd Halim berkata semasa PRN ke-15 pada 2021, parti tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menjadi cabaran utama untuk bertapak dan memperoleh semula kepercayaan rakyat pada PRN akan datang.

“Kita perlu membuktikan kepada masyarakat bahawa parti masih mampu diterima serta melahirkan wakil rakyat yang boleh menjadi suara rakyat di DUN Melaka. Kita akan memulakan perjuangan tanpa sebarang kerusi DUN.

“Cabaran itu memerlukan PKR menggunakan pendekatan berbeza berbanding pilihan raya terdahulu, termasuk meninggalkan politik berasaskan naungan atau patronage politics dan bergerak ke arah politik yang lebih matang,” katanya kepada Bernama.

PRN Melaka ke-15 menyaksikan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi.

Bagaimanapun, barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang dilantik turut meliputi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH, sekali gus menggambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan seperti mana yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, Adam Adli yang juga Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata PH akan memasuki gelanggang PRN dengan rendah diri serta mahu PH dilihat sebagai parti gabungan yang dekat dengan masyarakat dan memahami keperluan rakyat berbilang kaum.

“Kita tidak mahu melabel masyarakat dengan pelbagai kecenderungan politik, sebaliknya menghormati kematangan pengundi dalam membuat pertimbangan berdasarkan tawaran yang dikemukakan,” katanya.

Baca juga:

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata parti juga perlu terus menekuni dan memahami keperluan segenap lapisan masyarakat termasuk memberi perhatian serius kepada isu kos sara hidup, belia, pendidikan, pemilikan rumah, gaji dan kesihatan mental.

“Yang perlu kita lakukan ialah menawarkan idea, prinsip dan dasar yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat. Pendekatan itu juga selari dengan gagasan “Keadilan Untuk Semua” yang mahu memastikan parti berperanan sebagai wadah kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira latar belakang," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata kejayaan parti tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan penguasaan politik, tetapi sejauh mana idea dan dasar yang dibawa mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Mandat Kerajaan Negeri Melaka akan tamat pada 31 Dis ini.

Menyentuh mengenai Kongres Nasional PKR 2026, Adam Adli berkata ia akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Melaka menjadi tuan rumah bagi Kongres Nasional PKR 2026 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula 13 hingga 16 Ogos ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dijadual merasmikan kongres berkenaan pada 15 Ogos ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved