
BANGI: Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka hujung minggu ini tidak mempunyai sebarang usul khusus berkaitan masa depan politik parti, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda reformasi, pembangunan ekonomi dan pengukuhan organisasi.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa usul yang telah diluluskan untuk dibahaskan dalam kongres itu lebih menjurus kepada hala tuju reformasi serta pengukuhan parti.
“Setakat ini usulnya sangat jelas. Usul berkenaan dengan politik iaitu bagaimana mengangkat agenda reformasi, membangunkan ekonomi, pengukuhan parti, selain ucapan Dasar Presiden.
“Ini tiga empat usul yang telah diluluskan oleh parti untuk dibahas. Tak ada usul spesifik berkenaan masa depan politik, tapi mungkin ada pandangan-pandangan yang berbeza yang kita raikan di dalam kongres sebab kongres kita agak terbuka.
“Pihak parti akan membuat keputusan untuk menjamin kestabilan dalam satu-satu kerajaan dan juga untuk kebaikan parti juga. Sebab dua-dua itu kena sekali,” katanya dalam sidang akhbar sempena Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC II) di sini, hari ini.
Mengulas kehadiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kongres susulan keadaan kesihatannya, Amirudin berkata, beliau belum dapat memastikan sama ada Perdana Menteri akan menghadiri persidangan berkenaan.
“Saya tak pasti, mungkin beliau turun. Tapi dua hari saja kan? Jadi, dua hari maknanya kita punya kongres mula 15 Ogos.
“Harap beliau cepat sihat untuk datang. Timbalan Presiden, Nurul Izzah datang,” katanya. – UTUSAN
The post Kongres PKR: Tiada usul khusus masa depan politik parti – Amirudin appeared first on Utusan Malaysia.





